Oktoberfest tidak diharamkan di Pulau Pinang, kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata golongan ekstremis mungkin berjaya mengharamkan Oktoberfest di Selangor dan Kuala Lumpur, tetapi mereka tidak akan berjaya di Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Oktober, 2017.

GOLONGAN ekstremis tidak akan dapat mengharamkan “Oktoberfest” di Pulau Pinang, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata ketika Persatuan German Malaysia mengadakan hari terakhir festival bir tahunan ke-45 di negeri itu malam ini.

Beliau berkata walaupun “suara tidak senang” yang menentang sambutan itu di negeri lain, Pulau Pinang tidak akan mengharamkan Oktoberfest atau mengubah namanya.

“Pelampau ini mungkin berjaya mengharamkan Oktoberfest di Selangor dan Kuala Lumpur, tetapi mereka tidak akan berjaya di Pulau Pinang.

“Pulau Pinang tidak berminat melarangnyai, atau mengganggu kebebasan rakyat Malaysia. Kami bukan negara Taliban,” katanya dalam ucapannya di premis persatuan, lokasi bagi pesta dua hari itu diadakan setiap tahun.

Turut hadir ialah Duta Jerman ke Malaysia Nikolas Graf Lambsdorff, Konsul Kehormat Jerman Hans Peter Brenner, dan konsul-jeneral, serta wakil daripada pelbagai kedutaan, suruhanjaya tinggi dan jeneral konsulat.

Lim berkata beliau gembira kerana Pulau Pinang tidak perlu berdepan sebarang intimidasi oleh mereka yang menentang pesta bir.

Beliau mengucapkan tahniah kepada kedua-dua komuniti Jerman dan tempatan yang telah bekerjasama menganjurkan perayaan tahunan tanpa rasa takut dan menunjukkan tidak ada tempat bagi ekstremisme kaum dan agama di Pulau Pinang.

Beliau berkata rakyat mesti terus bersatu mempertahakan kepelbagaian, kesederhanaan, keharmonian dalam masyarakat berbilang budaya dan saling menghormati agama yang berbeza.

“Perayaan Oktoberfest Jerman telah diadakan selama beberapa tahun di Malaysia tanpa mengundang sebarang kontroversi.

“Malangnya sesetengah pelampau telah melihat peluang ini untuk meraih sokongan bagi pilihan raya umum akan datang di kalangan pengundi konservatif dengan mencuba melakukan pengharaman Oktoberfest.

“Para ekstremis ini tidak peduli bahawa hanya orang bukan Islam yang minum, bukannya orang Islam ... Kami tidak memaksa sesiapa pun minum. Kenapa anda perlu memaksa orang Jerman dan rakyat Malaysia, terutama orang bukan Islam, agar tidak minum?” Katanya.

Lim berkata jika ada yang perlu diharamkan, ia sepatutnya ekstremisme, perkauman, diskriminasi, hipokrasi, kejahilan, rasuah, pilih kasih, dan kemiskinan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana berjaya memastikan keadaan selamat di tempat dan negeri ini.

Pesta bir di Malaysia menjadi perhatian bulan lalu selepas Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur mengharamkannya.

Acara yang pertama kali dianjurkan pada 2012, sepatutnya berlangsung pada awal bulan ini.

Larangan pertama kali dilaporkan disebabkan oleh “sensitiviti politik” berikutan bantahan oleh PAS, yang mendakwa program seperti itu akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat maksiat.

Polis kemudian berkata pihak berkuasa menolak mengeluarkan permit untuk pesta itu kerana atas faktor keselamatan. – 14 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen