POLIS hanya bertindak melepaskan tembakan untuk melindungi diri atau keselamatan diri sekiranya diancam, kata Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin.
Mengulas tiga kes tembak di Selangor bulan ini, Noor Azam berkata pihaknya hanya bertindak melepaskan tembakan selepas suspek mengancam keselamatan polis.
“Bila suspek melepaskan tembakan, kami (polis) bertindak melepaskan tembakan untuk pertahankan diri. Jika polis lepaskan tembakan untuk pertahankan diri… jangan salahkan mereka,” katanya.
“Jika boleh kami juga mahu tangkap suspek hidup-hidup… Ini kerana lebih banyak maklumat dapat diperoleh, selain banyak kes dapat diselesaikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang hari ini.
Pada bulan ini, polis menembak mati lapan individu masing-masing tiga di Batu Arang di Rawang, Cyberjaya (4) dan Puchong (1) kerana disyaki suspek kes samun serta pemerdagangan manusia.
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap operasi yang dijalankan mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) ditetapkan.
“Sekiranya ada pegawai yang tidak mematuhi SOP, polis sendiri akan ambil tindakan terhadap mereka,” katanya.
Noor Azam berkata pihaknya akan terus melaksanakan operasi bagi memastikan keselamatan dan keamanan terjamin.
Mengulas insiden gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu, beliau berkata lebih 70 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Polis masih tunggu laporan daripada agensi berkaitan berhubung kes ini,” katanya. – Bernama, 25 September, 2019.
Komen