AFRIKA Selatan sedang giat berusaha untuk memastikan bahasa Afrika ditawarkan di semua sekolah di negara itu bertujuan membasmi apartheid, lapor agensi berita Xinhua.
“Menjelang akhir tahun depan, matlamat kami adalah untuk memastikan semua 23,000 sekolah di Afrika Selatan menawarkan bahasa Afrika,” kata Presiden Cyril Ramaphosa pada sambutan Hari Warisan Kebangsaan di Upington, di wilayah Cape Utara, Selasa.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah sekolah awam yang tidak menawarkan bahasa Afrika adalah sebanyak 460 berbanding 2,500 sebelum ini.
“Kami sedang bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk membangunkan leksikografi dan istilah, dan menawarkan skim dermasiswa kepada pelajar yang ingin mempelajari bahasa Afrika,” kata Ramaphosa.
Di bawah penjajahan dan dasar apartheid, bahasa Afrika telah dimusnahkan, terutamanya bahasa Khoi dan bahasa masyarakat San San, ujar Ramaphosa.
“Setiap bahasa yang dituturkan di negara ini mempunyai nilai setara dan sama,” katanya sambil menambah tiada bahasa melebihi bahasa lain.
Beliau berkata kerajaannya menjalankan pelbagai cara untuk mempromosi dan memelihara semua bahasa Afrika Selatan.
“Kami berharap dapat melihat semua bahasa asli berada di kedudukan yang sepatutnya dalam masyarakat,” kata Ramaphosa.
Mempromosi bahasa pribumi adalah sebahagian usaha untuk memperkasakan dan memulihkan martabat rakyat Afrika Selatan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan 2019 sebagai Tahun Antarabangsa Bahasa Asing.
Justeru itu, Afrika Selatan turut mengisytiharkan September sebagai Bulan Warisan dengan menumpukan usaha bagi memartabatkan semua bahasa, terutamanya bahasa Afrika. – Bernama, 25 September, 2019.
Komen