3 lagi kes disyaki demam babi Afrika dilaporkan di Korea Selatan


Menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Korea Selatan, dua kes demam babi Afrika dilaporkan di ladang di Pulau Ganghwa di Incheon, sekitar 60 kilometer di barat Seoul. – Gambar EPA, 25 September, 2019.

TIGA lagi kes disyaki demam babi Afrika dilaporkan di Korea Selatan hari ini mencetuskan kebimbangan mengenai potensi penyebaran penyakit yang boleh menyebabkan kematian pada haiwan itu, lapor agensi berita Yonhap.

Dua kes dilaporkan di ladang di Pulau Ganghwa di Incheon, sekitar 60 kilometer di barat Seoul, menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar.

Kementerian itu juga mengesahkan sehari sebelum kes kelima turut dilaporkan di lokasi sama. 

Kes lain berlaku di Yeoncheon berhampiran sempadan Korea Utara, di mana satu lagi kes jangkitan disahkan pada minggu lalu.

Andai semua kes itu disahkan positif, menjadikan setakat ini terdapat lapan kes dalam masa kurang 10 hari.

Kes pertama jangkitan demam babi Afrika dilaporkan di Korea Selatan pada 17 September, berlaku di kawasan dekat sempadan Korea Utara.

Setakat ini, kesemua lima kes itu adalah dari kawasan utara wilayah Gyeonggi dan Incheon. – Bernama, 25 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen