POLIS sudah melengkapkan siasatan terhadap pendakwah kontroversi dari India, Zakir Naik dan kertas siasatannya telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Pejabat Peguam Negara (AGC) bagaimanapun buat masa ini sedang sibuk dengan beberapa hal lain dan oleh sebab itu kes Zakir masih tertangguh, katanya.
“Kertas siasatan telah diangkat ke AGC (tetapi) mereka sekarang terbeban dengan banyak banyak kes seperti mana polis.
“Hasil siasatan polis dipindahkan ke AGC…siasatan polis sudah selesai,” kata Hamid ketika diwawancara dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Shah Alam, hari ini.
Hamid diwawancara oleh tokoh wartawan Johan Jaaffar.
Polis pada Ogos lalu melarang Zakir daripada memberikan sebarang ceramah awam di semua medium termasuk menggunakan media sosial susulan ceramahnya yang mencetuskan kontroversi di Kelantan.
Zakir mencetuskan kontroversi selepas membuat kenyataan yang dianggap menghina penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia semasa bercemarah di Kota Bharu.
Beliau kemudian meminta maaf dan menyifatkan kenyataannya dipetik di luar konteks.
Susulan itu, Zakir disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.
Beliau juga membuat laporan polis terhadap beberapa pemimpin DAP yang didakwa memfitnahnya.
Kedudukan Zakir di Malaysia jadi titik pertikaian antara kaum di Malaysia apabila masyarakat Muslim mendesak kerajaan mempertahan dan melindungi pendakwah itu di negara ini, sementara yang bukan Muslim mahu beliau dihantar pulang.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagaimana berulang kali menegaskan pendirian kerajaan tidak menghantar Zakir pulang ke India selagi penceramah bebas itu tidak membuat sebarang masalah. – 25 September, 2019.
Komen