Polis dapatkan pakar bebas bantu siasat video seks, kata KPN


Mohd Farhan Darwis

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata bantuan pakar bebas digunakan untuk bantu siasatan kes penyebaran rakaman video seks didakwa melibatkan Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2019.

POLIS sedang mendapatkan bantuan pakar bebas untuk membantu siasatannya berhubung penyebaran rakaman video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Katanya, kes itu melibatkan banyak isu teknikal yang di luar kefahaman pihak polis.

“Untuk menjalankan siasatan kes sebegitu tinggi, sudut teknikal bukan senang. Sebagai KPN saya tiada kepakaran untuk berkata itu dan ini,” kata Hamid.

Beliau berkata demikian ketika program Bual Bicara di pejabat Kumpulan Media Karangkraf,di Shah Alam hari ini yang dipengerusikan Johan Jaafar.

Menurutnya lagi, pihak polis sudah diarahkan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan pendapat daripada pelbagai pakardan mengakui sudah mendapatkan khidmat pihak tertentu.

“Kita dapat arahan daripada AGC untuk ambil langkah selanjutnya. Dapatkan pandagan kedua dan ketiga daripada entiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

“Kita tidak boleh sembrono memilih kerana akhirnya mereka akan dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah. Bukan semua orang nak (pergi ke mahkamah),” kata Hamid.

Pada 18 Julai lalu, Hamid mengesahkan rakaman video dua individu yang didakwa melibatkan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz adalah tulen.

Beliau bagaimanapun berkata, pihak Cybersecurity tidak dapat memastikan 100% pelaku dalam video berkenaan.

Haziq mengakui beliau adalah individu terbabit, namun Azmin, yang juga timbalan presiden PKR menafikan perkara itu. – 25 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen