DUA juta kanak-kanak dilaporkan tidak bersekolah di Yaman sejak konflik di negara itu meningkat pada Mac 2015, kata agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Pendidikan untuk 3.7 juta kanak-kanak itu di negara itu berisiko berikutan gaji guru juga belum lagi dibayar lebih dua tahun lalu, kata UNICEF dalam satu kenyataan.
“Keganasan, perpindahan dan serangan terhadap sekolah menghalang kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan,” kata Sara Beysolow Nyanti, wakil UNICEF di Yaman.
Satu daripada lima sekolah di negara ini tidak lagi boleh digunakan selepas konflik menghancurkan sistem pendidikan Yaman yang sudah rapuh, kata agensi PBB.
“Kanak-kanak terpaksa berdepan peningkatan risiko dalam semua bentuk eksploitasi termasuk terpaksa berdepan dengan pertempuran, buruh kanak-kanak dan perkahwinan di usia muda.
“Mereka hilang peluang untuk berkembang dan membesar dalam keadaan yang baik, akhirnya terperangkap dalam hidup yang susah dan miskin,” katanya.
Puluhan ribu orang kebanyakannya orang awam terbunuh ekoran perang yang tercetus antara gabungan diketuai Arab Saudi dengan pemberontak Houthi di negara tersebut.
Menurut UNICEF sebanyak 1.8 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami penderitaan manutrisi yang teruk.
PBB menyifatkan Yaman merupakan negara yang berdepan krisis kemanusiaan terburuk di dunia. – AFP, 25 September, 2019.
Komen