KOREA Utara menerima 1,425 tan bantuan makanan daripada Program Makanan Sedunia (WFP) pada Ogos, berikutan negara itu kini diancam masalah kekurangan makanan, lapor agensi berita Yonhap.
Jumlah itu menurun berbanding 2,188 tan metrik yang disediakan sebulan lebih awal, menurut laporan bulanan WFP pada Rabu. Sejumlah 557,930 orang di seluruh Korea Utara menerima bantuan itu bulan lepas.
Pada Mei WFP dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian melaporkan pengeluaran sektor tanaman Korea Utara tahun lepas menyusut ke tahap paling rendah sejak 2008, dengan kira-kira 10 juta orang atau 40% daripada penduduknya amat memerlukan bantuan makanan.
“Petunjuk awal sektor tanaman kentang, gandum dan barli adalah positif dan dijangka dapat dituai pada September/Oktober, namun pengeluaran mungkin terjejas akibat faktor cuaca,” katanya.
Korea Selatan merancang menyediakan 50,000 tan beras untuk dihantar ke Korea Utara melalui WFP tetapi negara itu enggan menerimanya.
Hubungan antara-Korea terus kekal buntu, dengan Korea Utara tidak memberi respons terhadap tawaran Seoul untuk berbincang, dan dicemari dengan kegagalan dalam rundingan mengenai pelucutan senjata nuklear antara antara Pyongyang dan Washington. – Bernama, 25 September, 2019.
Komen