Presiden Brazil tuduh media tipu laporan Amazon terbakar


Presiden Brazil Jair Bolsonaro menuduh media mensensasikan kebakaran hutan di Amazon. – Gambar EPA, 25 September, 2019.

PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro semalam berkata berita Amazon hangus terbakar adalah penipuan dan menuduh negara yang mengecamnya sebagai ada “semangat penjajah”.

Pemimpin haluan kanan yang pertama kali berucap di Perhimpunan Agung PBB itu turut memuji rakan sejawatnya, Presiden AS Donald Trump yang menghormati kedaulatan negaranya.

Ucapan itu dibuat selepas seminggu laporan Pemerhati Hak Asasi Manusia menuduh Bolsonaro memberikan “lampu hijau” kepada pembalak haram dan gagal melindungi hutan hujan tropika terbesar dunia itu.

“Amazon tidak hangus atau dijilat api. Media menipu,” kata Bolsonaro yang berucap selama 32 minit, lebih dua kali ganda masa diperuntukkan kepadanya.

“Satu falasi untuk mengatakan yang Amazon adalah warisan kemanusiaan, dan salah konsep disahkan oleh saintis untuk mengatakan hutan Amazon adalah paru-paru dunia.”

Bolsonaro juga mengecam pengkritiknya, berkata setiap negara ada masalahnya, tetapi laporan sensasi media antarabangsa “membangkitkan sentimen patriotik kami.”

“Menggunakan falasi ini, negara tertentu, berbanding membantu…bertindakan dalam cara kurang ajar dan dengan semangat penjajah.

“Mereka malah mempersoalkan apa yang kami anggap suci, kedaulatan kami.”

Menamakan Perancis, katanya: “Salah sebuah negara ini semasa mesyuarat G7 berani mencadangkan sekatan dikenakan ke atas Brazil tanpa berbincang atau mendengar (pandangan) kami.”

Perancis dan Ireland mengugut untuk menghalang perjanjian perdagangan antara EU dan negara Amerika Selatan, termasuk Brazil kerana dasar alam sekitar Bolsonaro.

Bagaimanapun, angka rasmi tidak menyokong dakwaan Bolsonaro bahawa kebakaran Amazon terkawal.

Penebangan hutan Amazon meningkat hampir dua kali ganda hanya dalam lapan bulan pertama tahun ini, dibandingkan dengan tempoh sama pada 2018 kepada 6,404 kilometer persegi, dua kali ganda saiz Luxembourg.

Penebangan itu menjadi punca kebakaran tidak terkawal tahun ini, dengan angka rasmi menunjukkan hampir 124,000 hektar tanah ditebang dan dibakar untuk penternakan dan pertanian. – AFP, 25 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen