Korea Selatan cadang PBB wujudkan zon keamanan


Presiden Korea Selatan Moon Jae-in semalam mencadangkan supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mewujudkan “zon keamanan antarabangsa” untuk menggantikan sempadan Semenanjung Korea. – Gambar EPA, 25 September, 2019.

PRESIDEN Korea Selatan Moon Jae-in semalam mencadangkan supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mewujudkan “zon keamanan antarabangsa” untuk menggantikan sempadan Semenanjung Korea, berkata idea itu akan menenangkan Korea Utara dan memberi inspirasi kepada dunia.

Pemimpin haluan kiri itu yang gaya diplomasinya berjaya mengadakan sidang kemuncak bersejarah antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, membentangkan visinya untuk legasi terakhir Perang Dingin itu pada ucapan di Persidangan Agung PBB.

Beliau meminta masyarakat antarabangsa untuk memberikan komitmen kepada pembentukan kawasan keamanan antarabangsa untuk menggantikan zon tanpa tentera seluas 250km yang memisahkan dua Korea sejak lebih 60 tahun itu.

Moon berkata zon itu akan menawarkan insentif tambahan kepada Kim untuk menyerahkan senjata nuklearnya, tumpuan utama dalam rundingan berterusan antara Korea Utara dan AS.

“Pembentukan zon keamanan antarabangsa akan menyediakan jaminan realistik dan berinstitusi untuk sekuriti Korea Utara,” kata Moon lagi.

“Pada masa sama, Korea Selatan akan mendapat keamanan berkekalan.”

Moon menyuarakan harapan bahawa zon itu seluas 4km itu akan menjadi kawasan agensi PBB untuk kerja-kerja penyelesaian konflik dan alam sekitar seterusnya diisytihar sebagai tapak warisan dunia oleh Unesco, badan kebudayaan PBB.

“Ia boleh menjadi zon keamanan dunia atas nama dan isinya.”

Walaupun wujud kemudahan ketenteraan di kedua-dua kawasan zon berkecuali itu, “paradoksnya ia juga menjadi syurga hidupan liar,” katanya.

Beliau mengakui cabaran besar menanti, termasuklah memindahkan lebih 380,000 periuk api dalam kawasan itu, tetapi berkata cadangan keamanan itu berbaloi dibincangkan.

Moon juga berkata beliau sudah berbincang dengan Kim untuk menyambung semula projek landasan kereta api Semenanjung Korea yang terkandas apabila perang 1950-53 meletus.

Walaupun Moon optimis, Korea Utara masih belum membuat tindakan konkrit untuk menamatkan program nuklearnya dan tetap menembak peluru berpandu jarak dekat, menimbulkan kebimbangan banyak pihak terutama di Jepun. – Gambar AFP, 25 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen