MASSACHUSETTS semalam secara rasmi menjadi negeri pertama di AS mengharamkan penjualan semua rokok elektronik-walaupun hanya sementara- berbanding negeri lain yang hanya mengharamkan produk perisa rokok itu.
Pengharaman itu berlaku serta merta dan akan berkuatkuasa sehingga 25 Januari, kata Gabenor Charlie Baker yang mengisytiharkan darurat kesihatan awam di negeri itu.
San Francisco di California juga menguatkuasa larangan serupa di bandar itu pada Julai, tetapi tiada negeri yang menguatkuasa larangan seluruh negeri lagi.
“Matlamat darurat kesihatan awam ini adalah untuk menghentikan sementara semua penjualan produk ‘vaping’ supaya kita boleh bekerjasama dengan pakar perubatan untuk mengenalpasti punca orang sakit dan bagaimana menyelia dengan lebih baik produk ini untuk melindungi kesihatan penduduk,” kata Baker.
Sejak beberapa minggu lepas, gelombang penyakit pernafasan dikaitkan dengan budaya vape tercetus, menyebabkan ratusan orang jatuh sakit dan tujuh kematian dilaporkan di AS, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit negara itu.
Massachusetts merekodkan tiga kes kematian sah dan dua kes kematian tidak dapat disahkan berkaitan budaya itu, dan lebih 50 kes orang sakit menerima rawatan.
Makmal Pentadbiran Makanan dan Dadah sedang menguji lebih 150 sampel produk tetapi masih belum dapat mengenalpasti bahan bertanggungjawab untuk penyakit pernafasan itu.
Michigan dan New York juga mengharamkan produk perisa e-rokok awal bulan ini, kerana kebimbangan peningkatan penyakit pernafasan serta kecenderungan ketagihan nikotin orang muda.
Semalam, Los Angeles mengambil tindakan serupa mengharamkan sementara penjualan perisa e-rokok.
Menurut kajian pada 2017, 20% pelajar sekolah Massachusetts menggunakan vape dan 41% pernah mencubanya.
Pada mulanya, jualan e-rokok dihadkan kepada mereka di atas umur 18 tahun. Tetapi, pada hujung tahun lepas, AS menaikkannya kepada umur minimum 21 tahun. – AFP, 25 September, 2019.
Komen