Malindo Air guna kepakaran CyberSecurity atasi kebocoran data


MALINDO Air telah menggunakan khidmat kepakaran CyberSecurity Malaysia dalam membantu syarikat itu mengatasi masalah kebocoran data melibatkan maklumat peribadi penumpangnya, kata Pengerusi CyberSecurity Mohd Azumi Mohamed.

“Malindo telah menggunakan khidmat CyberSecurity Malaysia untuk membantu, tetapi biarlah mereka buat siasatan mereka, kita tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa siasatan analitikal dan tanpa membuktikannya secara forensik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pameran Kerjaya Keselamatan Siber di Kuala Lumpur semalam. 

Minggu lepas, Malindo Air memaklumkan mengenai kebocoran maklumat tersebut, selepas syarikat keselamatan siber berpusat di Moscow, Kaspersky Lab berkata dalam satu laporan mengenai maklumat kira-kira 30 juta penumpang Malindo dan sebuah lagi anak syarikat Lion Group, Thai Lion Air telah dimuat naik ke dalam satu forum dalam talian.

Semalam, syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berkata kebocoran maklumat tersebut telah dapat dibendung.

Hasil siasatan mendapati, dua bekas pekerja syarikat penyedia servis e-dagang, GoQuo (M) Sdn Bhd di pusat pembangunan mereka di India, telah melakukan salah laku dan mencuri data peribadi pelanggan mereka. Perkara itu telah dilaporkan kepada pihak polis di kedua-dua negara, Malaysia dan India.

Ketika ditanya mengenai apakah tindakan yang dilakukan selepas berlakunya kebocoran data, Azumi berkata, mereka yang terlibat boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ataupun pihak polis, kerana ada undang-undang berkaitan, membolehkan tindakan diambil terhadap pelakunya.

“CyberSecurity Malaysia hanya membantu dalam memberikan khidmat bantuan atas kepakaran yang kami ada,” katanya. – Bernama, 25 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen