SPEAKER Dewan Nancy Pelosi semalam mengumumkan siasatan pendakwaan rasmi ke atas Presiden AS Donald Trump, berkata beliau melanggar perlembagaan apabila meminta bantuan Ukraine untuk menyerang balas Joe Biden, pencabar jawatan calon presiden Parti Demokrat.
“Tindakan kempen presiden Trump mendedahkan fakta memalukan tentang pengkhianatan presiden terhadap janji tugasnya, pengkhianatan terhadap keselamatan negara kita dan pengkhianatan terhadap integriti pilihan raya kita.
“Kerana itu, hari ini, saya mengumumkan bahawa Dewan Perwakilan memulakan siasatan rasmi pendakwaan ke atasnya.”
Pelosi bercakap demikian selepas berjumpa rakan sejawat kaukus Dewan Demokrat, yang mana desakan supaya pendakwaan dilakukan semakin lantang disuarakan walaupun wujud kebimbangan ia boleh menjejaskan peluang mereka dalam pilihan raya tahun depan.
Pengumuman itu dicetuskan skandal apabila Trump dilaporkan beberapa kali cuba menekan presiden Ukraine untuk membuka siasatan korupsi ke atas Biden, pencabar utamanya untuk White House dan anak Biden, Hunter.
Ia dicetuskan oleh pendedahan seorang pemberi maklumat bahawa pada 25 Julai lalu, Trump menelefon Presiden Ukraine Volodymyr Zelenzky.
White House enggan memberikan kertas siasatan risikan terhadap maklumat itu kepada Kongres yang mendedahkan Trump meminta bantuan Ukraine untuk melawan Biden, yang kini menjadi calon pilihan Parti Demokrat untuk pencalonan presiden AS.
Trump mengakui beliau bercakap dengan Zelenzky tentang Biden dalam panggilan telefon itu, dan semalam beliau berkata bantuan kepada negara itu disekat walaupun ia dibenarkan minggu lepas.
Tetapi, beliau menafikan kedua-dua perkara itu ada kaitan, berkata penghentian bantuan itu adalah untuk menggalakkan negara Eropah lain memberikan sokongan kepada kerajaan Ukraine.
Pelosi sebelum ini enggan meneruskan pendakwaan, berharap dapat memberi tumpuan kepada pemilihan Senat dan White House tahun depan.
Tetapi selepas tujuh wakil Demokrat secara terbuka menyokong siasatan pendakwaan pada Isnin, penganalisis menjangkakan sekurang-kurangnya 170 daripada 235 wakil Kongres menyokong siasatan itu. – AFP, 25 September, 2019.
Komen