MCA Johor masih berharap untuk berpeluang meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, tetapi sedar bahawa pakatan perpaduan terbaru Umno-PAS bakal memudarkan peluangnya.
Pemimpin tempatan parti etnik Cina yang juga sekutu Umno dalam Barisan Nasional (BN) percaya bekas ahli Parlimen kerusi itu, Wee Jeck Seng mempunyai peluang cerah untuk menang berdasarkan kepada popularitinya dan jasanya selama dua penggal di situ.
Tetapi hakikatnya ialah, MCA mungkin tidak berpeluang bertanding kerusi itu sekali lagi.
Ini kerana, pencapaian MCA dalam pilihan raya umum lalu yang teruk dengan hanya satu kerusi Parlimen dimenanginya – Ayer Hitam.
Sebab kedua ialah, sudah terbukti pakatan Umno-PAS memang berjaya dalam beberapa PRK sebelum ini, malah sebelum kedua-dua parti Melayu Islam itu menandatangani piagam secara rasmi pun.
Dua parti itu mula bekerjasama di PRK Cameron Highlands awam tahun ini dengan meletakkan calon Umno dan menang kerusi Parlimen berkenaan.
Sekarang, Tanjung Piai yang kosong susulan kematian penyandangnya yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik pada Sabtu lalu, adalah peluang untuk Umno dan PAS menjustifikasikan kerjasama rasmi mereka kepada ahli di akar umbi yang masih skeptikal.
Ia juga akan menjadi peluang kepada mereka menunjukkan kepada Pakatan Harapan bahawa ia kuasa yang perlu dipandang pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusi MCA Johor Lim Pay Hen berkata akar umbi parti itu masih mahukan kerusi berkenaan tetapi demi semangat kerjasama BN, mereka akan mencapai kata sepakat dengan parti-parti lain dalam gabungan itu, iaitu Umno dan MIC.
“Tanjung Piai ada ramalan yang memihak kepada MCA, kerana Wee Jeck Seng pernah berkhidmat di situ bagi tempoh yang lama. Namun, pemimpin MCA masih perlu mendapatkan persetujuan ahli BN yang lain,” katanya.
Lim berkata anggota akar umbi yang hilang semangat selepas kekalahan teruk MCA pada PRU14 tahun lalu, kini teruja untuk kembali berjuang dengan peluang untuk menawan semula kerusi MCA.
Katanya, masanya tepat kerana lebih ramai pengundi kini rasa terpedaya dengan kerajaan PH.
“Semangat ahli MCA kini kembali dan ada perpaduan. MCA Johor bersedia untuk melakukan sehabis baik dalam PRK ini,” kata Lim.
Tetapi Umno bahagian tempatan berkata kerusi itu patut dapat calon daripada parti itu susulan majoriti Melayu 57% dalam daftar pemilih 2018 sementara Cina 42% dan India 1%.
Pengerusi Umno Bahagian Tanjung Piai Jefridin Atan berkata Melayu di situ hanya bersetuju untuk memberikan kerusi itu kepada MCA kerana keputusan dibuat oleh kepimpinan BN di peringkat nasional.
Katanya, BN tewas kerusi itu tahun lalu kerana pengundi menolak MCA. – 25 September, 2019.
Komen