2 maut, 47 cedera hospital terbakar di Seoul


Anggota penyelamat membantu mangsa kebakaran di sebuah hospital di Gimpo di barat Seoul hari ini. – Gambar EPA, 24 September, 2019.

DUA pesakit warga emas maut manakala 47 lagi cedera dalam satu kebakaran di sebuah hospital di Gimpo di barat Seoul pada Selasa, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.

Kebakaran berlaku di bangunan lima tingkat yang menempatkan hospital itu pada 9.03 pagi, menurut Perkhidmatan Bomba Gyeonggi sambil menambah hospital itu mempunyai lebih 130 pesakit warga emas ketika kejadian.

Kebakaran itu menyebabkan dua pesakit, termasuk seorang warga emas wanita berusia 90 tahun, maut manakala 47 lagi cedera, menurut agensi tersebut.

Lapan mangsa yang cedera kini kritikal dan kebanyakan mereka berusia dalam lingkungan 79 hingga 80 tahun.

Menurut kenyataan itu, semua pesakit kemudian dipindahkan dari lokasi kebakaran.

Kebakaran itu dipercayai bermula dari sebuah bilik dandang yang terletak di tingkat empat bangunan tersebut.

Bekalan elektrik hospital itu telah diputuskan buat sementara waktu susulan satu pemeriksaan keselamatan elektrik yang bermula pada pukul 9 pagi.

Anggota bomba mengesyaki kebakaran mungkin disebabkan punca tidak diketahui apabila petugas hospital cuba membuka sebuah tangki oksigen di bilik dandang untuk membekalkan oksigen secara manual kepada pesakit susulan gangguan bekalan elektrik.

Perenjis hospital didapati tidak berfungsi semasa kebakaran itu berlaku meskipun penggera kecemasan berbunyi.

Menurut seorang pegawai bomba, Won Joon Hee, bilik dandang itu adalah berhampiran wad pesakit dan satu unit rawatan rapi (ICU) juga terletak di tingkat yang sama.

Mangsa yang maut adalah antara lapan pesakit yang ditempatkan di ICU, katanya.

Semua 47 mangsa yang cedera kini menerima rawatan perubatan di 11 pusat hospital berhampiran, menurut pegawai itu. – Bernama, 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen