PESURUHJAYA Polis Sabah Omar Mammah hari ini mengesahkan tiga nelayan Indonesia diculik dari perairan Tambisan berhampiran Kinabatangan kira-kira jam 11.58 pagi semalam.
Ketiga-tiga mangsa, Maharudi Lunani, 48, Muhammad Farhan, 27, dan Samiun Maneu, 27, dipercayai diculik ke Tawi-Tawi di Filipina.
Beliau berkata tidak ada permintaan tebusan yang dibuat oleh penculik.
“Kejadian berlaku berhampiran Gem Reef di Tambisan di daerah Kinabatangan. Terdapat tujuh orang penculik yang membawa dua bot pam dilengkapi tiga enjin.
“Mereka memakai seluar bercorak uniform tentera berwarna hijau, bertopeng hitam dan bersenjata AK47, dua M-16 dengan pelancar bom tangan M203 dan pistol.
“Mereka juga bercakap dalam bahasa Melayu kepada mangsa dan berbahasa Suluk di antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Sabah di Kapayan hari ini.
Omar berkata mangsa tiba di lokasi pada 22 September lepas selepas melakukan perjalanan selama dua hari dari jeti Sandakan menggunakan dua bot.
Beliau berkata suspek merampas satu bot, mengambil telefon bimbit mereka, pasport dan wang tunai selepas mengumpulkan kesemua empat anak kapal di hadapan dek bot berkenaan.
“Mereka kemudian menuju ke bot kedua sejauh 300 mete dan kemudian dilihat membawa bot ke perairan Filipina,” katanya.
Lokasi kejadian adalah kira-kira 10.6 bat nautika dari Pulau Tambisan dan kira-kira tiga batu nautika dari sempadan Filipina.
Sementara itu Omar Mammah berkata polis akan mengkaji semula pengguna bot pam dan melibatkan komuniti tempatan dalam rancangan kerajaan Sabah untuk membuat larangan penggunaan bot pam di perairan Malaysia. – 24 September, 2019.
Komen