4 pelarian Rohingya maut diserang gajah liar di Bangladesh


Pertembungan antara pelarian dan gajah liar tidak dapat dielakkan berikutan kawasan yang dijadikan kem perlindungan pelarian berkenaan merupakan hutan simpan yang menjadi habitat semula jadi mamalia itu. – Gambar EPA, 14 Oktober, 2017.

EMPAT orang pelarian Rohingya termasuk tiga kanak-kanak maut selepas diserang gajah liar ketika membina pondok di kawasan hutan di selatan Bangladesh pada Sabtu, kata polis. 

Insiden itu berlaku di kem Balukhali di daerah Cox Bazar menempatkan ratusan pelarian Rohingya yang membina tempat perlindungan sejak melarikan diri dari keganasan di Myanmar. 

“Mereka dipijak hingga mati oleh tujuh atau lapan ekor gajah liar. Mangsa termasuk seorang wanita dan tiga kanak-kanak,” kata timbalan ketua polis Cox Bazar Afrozul Haq Tutul kepada AFP. 

Dua orang turut dilaporkan cedera, katanya dan menambah kesemua mangsa merupakan pelarian Rohingya yang membina pondok di dalam kawasan hutan yang menjadi tempat gajah liar mencari perlindungan dan makanan. 

Ia merupakan kejadian kedua pelarian Rohingya diserang gajah liar di kawasan berkenaan. Sebelum ini, dua pelarian - seorang warga emas dan kanak-kanak - terbunuh selepas diserang gajah ketika sedang tidur di pondok sementara. 

Dianggarkan 536,000 pelarian Rohingya tiba di Bangladesh sejak tercetus keganasan pada 25 Ogos lalu di negeri Rakhine, Myanmar.

Kawasan di kem penempatan pelarian itu di Bangladesh semakin teruk, dengan pelarian yang baru tiba menebang pokok dan tumbuhan lain untuk dijadikan sebagai tempat berlindung daripada hujan. 

Kebanyakan pelarian yang baru tiba berkhemah di sepanjang jalan dan di tempat terbuka, di mana mereka menyerbu lori yang membawa bantuan makanan dan barangan keperluan lain. 

Kerajaan Bangladesh memperuntukkan 3,000 ekar (1,214 hektar) tanah hutan untuk membina tempat perlindungan yang lebih baik kepada pelarian namun kebanyakan daripada mereka sudah membina pondok sebelum pembinaan tempat perlindungan itu dimulakan. 

Pihak berkuasa perhutanan Cox Bazar memberitahu AFP, pertembungan antara haiwan liar dan pelarian “tidak dapat dielakkan” berikutan kawasan kem berkenaan menjadi kawasan gajah berkeliaran sejak berabad lalu. 

“Ia merupakan kawasan hutan simpan, yang menjadi habitat gajah liar,” katanya. 

Pihak berkuasa mahu meluaskan kem sedia ada di sekitar Kutupalong dan Balukhali untuk dijadikan bandar pelarian kepada 800,000 pelarian Rohingya, namun Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penempatan itu boleh menyebabkan kesesakan. – AFP, 14 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen