Pelancongan di Finland terjejas selepas Thomas Cook diisytihar muflis  


Industri pelancongan di Finland terjejas selepas Thomas Cook diisytiharkan muflis baru-baru ini. – Gambar EPA, 24 September, 2019.

KEBANKRAPAN Thomas Cook turut memberi kesan ke atas pelancongan di Finland kerana konglomerat industri pelancongan Britain itu merupakan antara empat pengusaha utama yang membawa masuk pelancong ke Lapland, wilayah paling utara di Finland, lapor agensi berita China Xinhua.

Pelancongan musim sejuk belum bermula dan tidak seperti tempat lain di selatan Eropah, tiada pelancong dilaporkan terkandas di Lapland.

Sanna Karkkainen, Ketua Pegawai Eksekutif bagi Lawatan ke Rovaniemi (ibu kota Lapland), memberitahu akhbar tempatan, Lapin Kansa, bahawa pengusaha pelancongan lain boleh mengambil alih bahagian pasaran Thomas Cook di Lapland namun waktu syarikat itu mengalami kebankrapan disifatkan sebagai amat malang.

“Pelancong Britain sentiasa menjadi yang pertama tiba pada permulaan musim sejuk, dan ia tidak mungkin boleh diatur semula dalam tempoh yang begitu singkat,” kata Karkkainen pada Isnin.

Beliau berkata rakyat Britain dan Perancis adalah pembeli terbesar program perkhidmatan pelancongan di Lapland.

“Rakyat China membelanjakan wang yang paling banyak namun bukan ke atas program itu,” katanya.

Thomas Cook membawa masuk pelancong dari Britain dan Perancis.

Veli-Pekka Pitkanen, pengarah kawasan Lapland yang bertugas dengan pengusaha lapangan terbang Finavia di Finland, memberitahu Lapin Kansa bahawa daripada sejumlah 779 penerbangan sewa khas yang memberikan khidmat di Lapland tahun lepas, 10 peratus dikendalikan Thomas Cook Airlines.

“Mereka adalah pelanggan penting,” katanya. – Bernama, 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen