TENTERA Myanmar mengatakan mereka sedang menyiasat operasinya dalam keganasan yang melanda negeri Rakhine, kawasan yang didakwa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berlakunya pembersihan etnik Rohingya Islam dilakukan pihak berkuasa negara itu.
Sejak tujuh minggu lalu, lebih setengah juta Rohingya melarikan diri dari Rakhine menuju ke Bangladesh, mengejutkan dunia dengan kisah tentera Myanmar dan sami Buddha yang membunuh dan merogol kaum minoriti itu sebelum membakar perkampungan mereka.
Tentera bertegas menafikan dakwaan itu dan menuduh ia menyasarkan militan Rohingya yang menyerang pusat kawalan polis pada 25 Ogos membunuh puluhan anggota.
Ia juga menghalang akses pihak bebas ke dalam zon konflik itu, mencetuskan kecaman PBB yang menuduh pihak tentera mengetuai kempen sistematik untuk mengusir minoriti Islam negara itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, pihak tentera kini sedang bersedia untuk mengeluarkan laporan siasatan dalaman dilakukan mereka ke atas konflik itu.
“Sebuah pasukan penyiasat diketuai Ketua Inspektor Perkhidmatan Pertahanan Leftenan Jeneral Aye Win memeriksa pasukan keselamatan dan unit tentera (untuk menilai) sama ada mereka menjalankan tugas atau tidak,” kata kenyataan “Pasukan Maklumat Berita Benar” itu.
Sebuah lagi catatan di Facebook ketua tentera menggambarkan yang tentera tidak akan disalahkan, mengatakan “didapati semua tindakan berdasarkan undang-undang.”
“Tindakan sedang diambil untuk membuat laporan terperinci,” kata kenyataan akaun Facebook, Jeneral Min Aung Hlaing itu lagi.
Walaupun pertempuran berdarah semakin berkurangan beberapa minggu kebelakangan ini, tentera masih aktif dalam negeri Rakhine itu- yang kini hampir dikosongkan oleh penduduk Islamnya.
Laporan terkini tentera mengatakan pasukan keselamatan masih meneruskan “operasi pembersihan” di Maungdaw selepas menemui periuk api buatan tangan berhampiran sebuah masjid di perkampungan Zin Paing Nyar.
Tentera mandakwa militan Rohingya menanam periuk api tersebut.
Tentera Myanmar memerintah negara majoriti Buddha itu secara diktator selama lima dekad sehinggalah 2011, apabila negara itu mula berubah kepada pentadbiran separa demokrasi.
Tentera dibenci rakyat Burma ketika pentadbiran diktator itu, era yang dipenuhi dengan pelbagai dakwaan pencabulan hak asasi dan kekebalan sepenuhnya kepada pihak tentera.
Tetapi kempen tentera memerangi Rohingya menerima sokongan penuh rakyat Myanmar majoriti Buddha yang percaya orang Islam itu adalah pendatang haram.
Ketua tentera yang selalu mengeluarkan pandangannya menerusi Facebook menyifatkan Rohingya sebagai “Bengali” yang tidak berhak tinggal di Rakhine walaupun etnik minoriti itu sudah berada di situ bergenerasi lamanya.
Ketua Umum, Aung San Suu Kyi yang memegang tampuk kuasa melalui pilihan raya bebas pada 2015 tidak berkuasa ke atas tentera.
Reputasinya juga tergadai kerana krisis itu apabila pelbagai pihak antarabangsa mengecamnya kerana gagal bertindak sewajarnya menangani krisis kemanusiaan itu. – AFP, 14 Oktober, 2017.
Komen