Angka korban akibat rusuhan di Papua meningkat 26 orang


Pihak berkuasa berkawal di luar sebuah universiti di Jayapura semalam. Seramai 26 orang dilaporkan terbunuh dalam rusuhan terbaru di wilayah Papua yang bergolak. – Gambar EPA, 24 September, 2019.

SERAMAI 26 orang dilaporkan terbunuh dalam rusuhan terbaru di wilayah Papua yang bergolak, kata pihak berkuasa hari ini.

Insiden itu menyebabkan beribu-ribu penduduk melarikan diri ke tempat perlindungan selepas menyaksikan penunjuk perasaan merusuh dan membakar bangunan.

Sejak beberapa minggu lalu Papua yang terletak di barat pulau New Guinea berdepan dengan pergolakan yang dicetuskan oleh krisis perkauman selain dorongan untuk membebaskan wilayah miskin itu dari Indonesia.

Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh manakala 70 lagi cedera di bandar Wamena selepas ratusan penunjuk perasaan merusuh dan membakar bangunan kerajaan serta premis berhampiran.

Komander tentera Chandra Dianto berkata, seramai 700 suspek ditahan untuk disoal siasat berhubung rusuhan itu.

Menurutnya sebahagian mangsa dibakar manakala ada yang ditetak sehingga mati dan terperangkap dalam kebakaran.

“Kami akan mencari mangsa yang terperangkap di dalam kedai-kedai yang terbakar,” katanya.

Pihak berwajib berkata, kebanyakan mangsa di Wamena bukan penduduk Papua yang mana ia akan meningkatkan ancaman keganasan terhadap pendatang luar dari bahagian lain di kepulauan Asia Tenggara.

Dalam kejadian rusuhan semalam, seorang tentera dan tiga orang awam terbunuh di wilayah Jayapura.

Tentera itu maut selepas ditikam manakala tiga pelajar meninggal dunia akibat terkena peluru getah, kata pihak berkuasa tanpa mengulas lanjut.

Rusuhan meletus di seluruh Papua dan beberapa bahagian lain di Indonesia sejak beberapa minggu lalu berikutan insiden penahanan serta penggunaan gas pemedih mata ke atas berpuluh pelajar Papua yang berdepan diskriminasi kaum dan etnik di Surabaya. – AFP, 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen