Kongsi kos pertahanan: Korea Selatan dan AS adakan rundingan pertama


Presiden AS Donald Trump sebelum ini sudah lama mendesak agar Seoul membayar lebih banyak untuk kehadiran tentera AS di Korea Selatan. – Gambar EPA, 24 September, 2019.

KOREA Selatan dan Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan rundingan baharu di Seoul hari ini bagi membincangkan isu perkongsian kos bagi penempatan tentera Amerika di sini, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Kementerian Luar Korea Selatan.

Rundingan itu bertujuan merangka Perjanjian Langkah Khas (SMA) baharu yang akan menentukan jumlah yang perlu dibayar oleh Seoul bagi menempatkan sejumlah 28,500 tentera Amerika di negara itu. Perjanjian semasa akan tamat pada akhir tahun ini.

Korea Selatan akan diwakili Chang Won Sam yang merundingkan perjanjian semasa memandangkan kerajaan masih dalam proses memilih penggantinya manakala James DeHart, bekas kuasa usaha Kedutaan AS di Norway, akan mengetuai delegasi AS.

Delegasi Korea Selatan terdiri daripada para pegawai Kementerian Luar, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertahanan manakala pasukan AS termasuk pegawai dari Jabatan Negara dan Pentagon.

Rundingan itu dijangka berlangsung sehingga Rabu.

Di New York, Presiden Moon Jae In dan Presiden AS Donald Trump turut membincangkan isu itu ketika mengadakan rundingan sidang kemuncak di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Trump sudah lama mendesak agar Seoul membayar lebih banyak untuk kehadiran tentera AS.

Dibawa SMA tahun ini yang ditandatangani pada Februari dan sah sehingga 31 Dis, Korea Selatan bersetuju membayar sejumlah 1.04 trilion won (US$870 juta), menyaksikan peningkatan sebanyak 8.2 peratus berbanding tahun lepas.

Seoul berkata ia akan berusaha mengekalkan bahagian kosnya pada tahap yang adil dan munasabah.  – Bernama, 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen