SUSULAN sekatan komunikasi di wilayah Kashmir yang telah memasuki hari ke-50 semalam, Kelab Akhbar Kashmir (KPC) berkata langkah tidak munasabah itu sebenarnya adalah bertujuan untuk “menutup mulut media,” lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan KPC.
“Badan pengurusan kelab semasa satu mesyuarat bagi membincangkan kesan sekatan ke atas telefon mudah alih dan internet berkata langkah itu telah menjejaskan tugas wartawan dan media,” kata jurucakap KPC dalam kenyataan itu.
“Wartawan terhambat dan tidak boleh mendapatkan pengesahan mengenai situasi di lokasi susulan sekatan komunikasi ini. Sekatan itu adalah tidak wajar serta tidak munasabah (dan adalah) bertujuan untuk menutup mulut akhbar Kashmir,” menurut kenyataan itu.
Mendesak agar sekatan komunikasi ditarik balik, kenyataan itu menyebut “terdapat beberapa peringatan daripada kelab kepada kerajaan untuk memberikan kebebasan komunikasi kepada pejabat akhbar, pemberita dan kelab akhbar sendiri.”
“Bagaimanapun kelewatan melampau dalam memulihkan komunikasi itu mengesahkan syak wasangka bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk menyediakan satu suasana bagi membolehkan media beroperasi di lembah ini,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, KPC telah menyerahkan senarai nombor telefon wartawan pada 19 September bagi membolehkan akses mereka dipulihkan namun tiada tindakan yang diambil berhubung perkara tersebut setakat ini.
“KPC mengulangi desakannya agar kerajaan dengan segera menarik balik sekatan ke atas telefon mudah alih dan internet yang akan membolehkan media berfungsi tanpa sebarang masalah di lembah ini,” katanya.
Wilayah itu kini berdepan sekatan komunikasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang menyaksikan akses wartawan dan media kepada internet dan telefon mudah alih dibatalkan di seluruh kawasan tersebut sejak 5 Ogos, ketika India membatalkan status istimewa Jammu dan Kashmir.
India menghalang komunikasi dan mengenakan sekatan ketat bagi mengekang sebarang pemberontakan manakala pemimpin politik di rantau telah ditahan semasa kumpulan hak asasi manusia berulang kali menggesa New Delhi untuk menarik balik sekatan itu dan membebaskan tahanan.
India mendakwa bahawa 93 peratus daripada sekatan telah dilonggarkan di wilayah yang dilanda konflik itu. – Bernama, 24 September, 2019.
Komen