Trump tak bimbang tunjuk perasaan di Mesir


Beratus-ratus penunjuk perasaan turun ke jalanan di pusat bandar Kaherah dan beberapa bandar lain pada Jumaat bagi menentang Sisi yang berkuasa pada 2014 selepas menggulingkan Presiden Mohamed Morsi yang dipilih secara demokratik. – Gambar EPA, 24 September, 2019.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata beliau tidak bimbang dengan tunjuk perasaan terhadap Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, lapor agensi berita Turki Anadolu. 

“Semua orang terpaksa berdepan dengan tunjuk perasaan,” kata Trump ketika bertemu Sisi pada sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

“Saya tidak bimbang mengenai perkara itu. Mesir mempunyai seorang pemimpin yang hebat. Beliau amat dihormati.” 

Beratus-ratus penunjuk perasaan turun ke jalanan di pusat bandar Kaherah dan beberapa bandar lain pada Jumaat bagi menentang Sisi, seorang bekas jeneral tentera yang berkuasa pada 2014 selepas menggulingkan Presiden Mohamed Morsi yang dipilih secara demokratik.

Tunjuk perasaan itu diadakan sebagai respons kepada gesaan agar Sisi berundur yang dibuat oleh Mohamed Ali, seorang bekas kontraktor tentera yang menuduh Sisi dan pihak tentera terlibat dalam skandal rasuah.

Lebih 350 orang telah ditahan di seluruh Mesir sejak Jumaat, menurut Suruhanjaya Hak Asasi dan Kebebasan Mesir (ECRF). 

Trump turut menyatakan sokongan kepada pemimpin Mesir itu dan menegaskan bahawa “beliau telah melakukan beberapa perkara yang amat menakjubkan dalam tempoh yang singkat.” – Bernama, 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen