Selepas setahun berkorban, Belanjawan 2020 patutnya mengembang, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Pengarah Eksekutif SERC, Lee Heng Guie berkata Kementerian Kewangan sewajarnya mengemukakan belanjawan yang pragmatik dan responsif kepada kejutan luar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 September, 2019.

BELANJAWAN 2020 sepatutnya sebuah belanjawan pengembangan untuk mengimbangi kesan kejutan luar akibat ketidaktentuan global, kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie.

“Kementerian Kewangan sewajarnya mengemukakan belanjawan yang pragmatik dan responsif kepada kejutan luar.

“Tahun lepas adalah tahun berkorban, tahun ini pula sepatutnya untuk memastikan ekonomi terus berdaya tahan untuk menangani sebarang risiko daripada luar,” katanya semasa membentangkan taklimat suku penggal badan itu, hari ini.

Sumber pendapatan untuk menampung belanjawan pengembangan boleh diperolehi daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dividen khas RM54 bilion dari Petronas, serta penjimatan daripada ketirisan dana kerajaan, kata Lee.

Beliau turut membayangkan kutipan levi pelepasan dan cukai daripada penjualan aset juga boleh jadi sumber pendapatan kerajaan.

Menurut Lee, menurunkan kadar defisit fiskal kepada 3.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah lebih munasabah berbanding sasaran awal 3%.

Katanya, kadar itu lebih rendah berbanding 3.4% tahun ini tetapi lebih tinggi daripada sasaran awal.

“(Kerajaan) tidak harus terlalu taksub untuk mengurangkan defisit kepada paras yang dikehendaki tetapi sebaiknya beri ruang untuk belanjawan pengembangan,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam beberapa kenyataan sejak kebelakangan ini menegaskan bahawa Belanjawan 2020 nanti akan mengutamakan perkembangan ekonomi.

Katanya, kerajaan akan mempertimbangkan belanjawan pengembangan demi memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat dan mencapai sasaran ekonomi iaitu kemakmuran bersama.

Wawasan Kemakmuran Bersama akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 5 Oktober ini, tidak sampai seminggu sebelum Lim membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Oktober. – 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen