PENGAWAL selia kewangan Australia hari ini mengarahkan siasatan ke atas platform pemindahan wang global PayPal atas kebimbangan yang disalahgunakan oleh pesalah seks untuk membeli bahan penderaan kanak-kanak dari Asia.
Pusat Laporan dan Analisis Australia (AUSTRAC) akan melantik juruaudit luaran untuk memeriksa “kebimbangan berterusan” terhadap pelanggaran yang dikatakan PayPal mengenai undang-undang pembiayaan anti pencegahan pengubahan wang haram dan undang-undang negara.
Dalam satu kenyataan pada Selasa AUSTRAC berkata mereka bekerjasama dengan rakan-rakannya untuk memerangi jenayah serius seperti eksploitasi seks kanak-kanak menggunakan maklumat pemindahan dana yang dilaporkan oleh sektor perkhidmatan kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif AUSTRAC Nicole Rose memberitahu ABC, bahan penderaan kanak-kanak dalam talian boleh ditempah dari Australia ke kawasan-kawasan seperti Filipina dalam jumlah yang agak kecil dan sering diulang tempah.
“Dan malangnya PayPal salah satu medium yang boleh digunakan mereka untuk membuat bayaran.
“Sebab itulah kami ingin mendapatkan juruaudit mengenai apa jenis risiko yang ada,” katanya.
Jurucakap PayPal Australia berkata, setelah kajian dalaman syarikat itu “mengeluarkan satu isu sendiri” dalam laporan sistemnya kepada AUSTRAC.
Laporan audit mesti dikumpulkan dalam masa 120 hari dan akan digunakan untuk menentukan sama ada pengawal selia mengambil tindakan selanjutnya terhadap platform pembayaran digital berkenaan. – AFP, 24 September, 2019.
Komen