Pelobi Yahudi mahu sekat Dr Mahathir berucap di universiti


Kongres Yahudi Dunia menggelarkan Dr Mahathir Mohamad sebagai “pemimpin dunia anti Yahudi” dan Columbia Universiti tidak sewajarnya memberikan ruang untuk pemimpin sepertinya bersuara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2019.

SEBUAH kumpulan pelobi Yahudi membantah sebuah majlis melibatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Columbia University, New York esok, lapor akhbar New York Post.

Presiden Kongres Yahudi Dunia Ronald Lauder menggelarkan Dr Mahathir sebagai “pemimpin dunia anti Yahudi” dan universiti tidak sewajarnya memberikan ruang untuk pemimpin sepertinya bersuara.

“Sangat mengecewakan bila sebuah universiti yang berbangga menjadi tempat tolak ansur dan kebersamaan menyerahkan mikrofon kepada seorang pemimpin yang menggambarkan Yahudi sebagai ‘berhidung runcing.’

“Perdana Menteri (Dr Mahathir) Mohamad juga dipetik sebagai berkata yang ‘orang Eropah membunuh enam juta daripada 12 juta Yahudi. Tetapi, sekarang Yahudi memerintah menggunakan proksi. Mereka menggunakan orang lain untuk berperang dan mati bagi pihak mereka’,” kata Lauder dipetik berkata.

Columbia University sepatutnya “malu dengan diri sendiri”, katanya lagi.

Tambahnya, disebabkan sebuah universiti utama memberikan ruang dan peluang kepada pandangan sebegitu, ia tidaklah mengejutkan apabila sentimen anti Yahudi semakin berleluasa di kota New York.

Dr Mahathir akan berada di New York untuk berucap pada Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-74, Jumaat ini.

Ucapannya di Columbia adalah sebahagian daripada Forum Pemimpin Dunia anjuran universiti terkemuka itu, beliau dijadualkan bercakap tentang kedaulatan undang-undang dan kerjasama negara dunia, diikuti sesi soal jawab bersama hadirin. 

Bagaimanapun, Presiden Columbia Lee Bollinger dilaporkan mempertahankan keputusan menjemput Dr Mahathir, menegaskan yang universiti wajar membincangkan isu kontroversi dan jemputan kepada Dr Mahathir bukanlah “pengesahan atau sokongan” terhadap pandangannya. – 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen