PERSATUAN mahasiswa seluruh Indonesia hari ini mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan Parlimen di Jakarta menjelang persidangan membahaskan enam rang undang-undang yang mencetuskan kontroversi, lapor media.
Tunjuk perasaan hari ini adalah lanjutan daripada protes semalam yang tidak hanya diadakan di Jakarta tetapi turut berlangsung di Yogjakarta di Jawa Tengah dan Makassar di Sulawesi.
Tunjuk perasaan itu bagaimanapun bukan untuk menjatuhkan Presiden Joko Widodo, lapor Tempo.
Protes itu sebaliknya mahu menyuarakan sikap mahasiswa mempertahankan reformasi dan menentang pemerintah yang cuba meluluskan undang-undang yang dianggap tidak menguntungkan rakyat.
Antara yang dibantah ialah pindaan ke atas akta yang menyelia badan pencegahan rasuah yang dilihat bakal melemahkan agensi itu.
Mereka juga membantah pindaan ke atas undang-undang jenayah yang dianggap bakal menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan media.
Pindaan itu juga akan menjadikan hubungan seks di luar nikah dan hubungan sejenis sebagai jenayah.
Jumaat lalu, Jokowi mengarahkan perbahasan rang undang-undang jenayah yang mencetuskan perdebatan dalam masyarakat ditangguh untuk disemak semula sebelum dibawa sekali lagi ke penggal baru parlimen yang akan bermula bulan depan.
Selain itu, mahasiswa dan badan masyarakat turut mempersoalkan rang undang-undang mengenai tanah yang dipercayai akan mempermudahkan urusan pengambilan tanah.
Rang undang-undang jenayah dan tanah tidak disenaraikan untuk dibahas hari ini, lapor Tempo.
Sementara itu, beberapa pensyarah dilapor memberi kelonggaran kepada pelajar untuk menyertai protes hari ini.
Ada juga yang memberikan tugasan kepada pelajar untuk membuat laporan mengenai tunjuk perasaan yang mereka sertai. – 24 September, 2019.
Komen