Wartawan Maghribi dakwa dipaksa jalani pemeriksaan perubatan


Wartawan memenuhi perkarangan mahkamah bagi mendengar kes perbicaraan wartawa Maghribi Hajar Raissouni yang didakwa atas kesalahan melakukan hubungan seks luar nikah dan menggugurkan kandungan secara haram. – Gambar EPA, 24 September, 2019.

SEORANG wartawan Maghribi yang sedang berdepan perbicaraan atas dakwaan mengadakan hubungan seks luar nikah dan menggugurkan kandungan secara haram memberitahu mahkamah semalam bahawa polis telah memaksanya menjalani pemeriksaan perubatan yang menyakitkan di dalam tahanan.

Peguam Hajar Raissouni meminta pembebasannya dan menafikan anak guamnya telah menggugurkan kandungan.

Menurutnya, Raissouni telah menerima rawatan untuk pendarahan dalaman seperti yang disokong oleh pakar sakit puannya yang turut ditahan.

Tertuduh yang memakai jubah hitam tradisional dan selendang hijau memberitahu hakim yang dia ditahan oleh sekumpulan polis dan dipaksa menjalani pemeriksaan perubatan selama 20 minit tanpa ubat tahan sakit.

Raissouni seorang wartawan berusia 28 tahun dan teman lelakinya warga Sudan serta seorang doktor, seorang jururawat dan setiausaha perubatan kekal dalam tahanan sejak ditahan akhir bulan lepas.

Dalam manifesto yang jarang diterbitkan dalam media Maghribi semalam, beratus-ratus wanita Maghribi mengisytiharkan diri mereka sebagai “penjenayah” kerana melanggar “undang-undang yang tidak adil dan lapuk” di negara Afirka Utara.  

Perkara 490 kod undang-undang Maghribi menghukum pelaku hubungan seks luar nikah sementara undang-undang juga melarang menggugurkan kandungan kecuali ibu berada dalam bahaya.

Antara 600 dan 800 kes menggugurkan kandungan berlaku setiap hari di Maghribi, menurut anggaran kumpulan kempen.

Tahun lepas Maghribi mendakwa beribu-ribu penduduk yang terlibat dalam seks luar nikah, 170 yang terlibat dalam kegiatan homoseksual dan 73 orang yang menggugurkan kandungan. – AFP, 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen