Riau isytihar darurat jerebu, IPU lebih 500


Sejak 13 September lepas, kualiti udara di provinsi Riau dan Jambi dikategorikan sangat tidak sihat. – Gambar EPA, 24 September, 2019.

WILAYAH Riau diisytihar darurat bencana susulan jerebu teruk dengan bacaan indeks pencemaran udaranya berkisar antara 500 hingga 700 sejak Ahad malam, lapor media di Indonesia.

Perisytiharan darurat itu diumumkan oleh Gabenor Riau, Syamsuar, semalam.

“Hari ini (Isnin) secara resmi kita tetapkan Riau darurat bencana pencemaran udara akibat asap sehingga 20 September ini,” katanya, seperti dipetik Republika.

Sejak beberapa hari lalu, di media sosial tular gambar keadaan langit merah atau oren pekat di Pekanbaru, ibukota wilayah Riau, serta di beberapa daerah lain di sekitarnya, tanda kualiti udara yang buruk.

Syamsuar turut dipetik berkata sekiranya keadaan tidak pulih menjelang 30 September ini, perintah darurat itu mungkin akan dilanjutkan.

Pihak berkuasa juga menyediakan pusat pemindahan penduduk terutama bagi kanak-kanak dan ibu hamil, katanya.

Sementara itu, data pihak berkuasa cuaca di Indonesia yang dipetik Republika menunjukkan enam daerah turut mengalami jerebu yang teruk iaitu Siak, Kampar, Dumai, Rokan Hilir dan Bengkalis.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI), Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun, berlepas ke Pekanbaru pagi ini, bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung keadaan pelajar Malaysia di provinsi itu.

Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim di Pekanbaru dan Universiti Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin di Jambi juga sudah diarahkan bercuti sejak 13 September lepas. 

Dua universiti itu masing-masing mempunyai 214 dan 110 pelajar Malaysia, yang sebahagiannya sudah pulang sementara ke tanah air.

Bernama juga melaporkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Wisma Putra dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mengadakan perbincangan di Kuala Lumpur, bagi proses pemindahan pelajar Malaysia. – 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen