Johnson kata Trump boleh buat perjanjian nuklear ‘lebih baik’ dengan Iran


Perdana Menteri Britain Boris Johnson mengharapkan Presiden AS Donald Trump membuat perjanjian nuklear baharu yang lebih baik dengan Iran. – Gambar EPA, 24 September, 2019.

PERDANA Menteri Britain Boris Johnson semalam berkata Presiden AS Donald Trump boleh melakukan rundingan perjanjian nuklear dengan Iran “yang lebih baik” berbanding yang dipersetujui Tehran dan kuasa besar pada 2015.

“Mari lakukan perjanjian yang lebih baik,” kata Johnson dalam satu wawancara bersama NBC ketika berada di New York untuk Perhimpunan Agung PBB.

“Saya fikir ada seorang yang boleh buat perjanjian lebih baik….dan orang itu ialah presiden AS. Saya harap akan ada perjanjian Trump,” tambahnya.

Menteri Luar Iran Javad Zarif di Twitter dipercayai mengulas dakwaan Johnson itu, menulis yang Perancis, Jerman dan Britain “lumpuh untuk memenuhi tanggungjawab mereka tanpa kebenaran AS sejak Mei 2018,”, apabila Washington menarik diri daripada perjanjian itu.

“Tiada perjanjian baharu sebelum pematuhan perjanjian sebelum ini,” tambahnya lagi.

Iran dan AS bertelagah sejak Mei tahun lepas, apabila Trump membatalkan perjanjian nuklear 2015 yang diberi kepada Iran dengan janji penghapusan sekatan sekiranya negara itu mengekang program nuklearnya.

Trump kemudian mula mengenakan semula sekatan yang disifatkan pentadbirannya sebagai kempen “tekanan maksimum”.

Negara Eropah yang membantu rundingan itu termasuklah Perancis, England dan Jerman cuba meredakan ketegangan untuk menyelamatkan perjanjian itu.

Walaupun Perancis dan Jerman sebelum ini tidak ada pendirian jelas sama ada untuk membuat perjanjian baharu, Presiden Perancis Emmanuel Macron juga nampaknya bersedia membatalkan perjanjian itu.

Presiden Iran Hassan Rouhani tiba di New York tengahari semalam dan dijadualkan akan bertemu Macron.

Tiada pertemuan dijadualkan berlaku antara Rouhani dan Trump, walaupun presiden AS tidak menolak kemungkinan ia akan diadakan. – AFP, 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen