Senator Haiti lepas tembakan di luar Parlimen, cederakan jurugambar


Penunjuk perasaan menuntut Presiden Jovenel Moise meletak jawatan menyebabkan kerajaan baharu dengan perdana menteri baharu dilantik masih tidak dapat dibentuk. – Gambar EPA, 24 September, 2019.

SEORANG senator Haiti yang cuba menyuraikan penunjuk perasaan dengan melepaskan tembakan di luar bangunan Parlimen semalam, mencederakan seorang jurugambar media dalam kejadian itu.

Senator Jean-Marie Ralph Fethiere, ahli parti pemerintah, berkata beliau bertindak mempertahankan diri selepas penunjuk perasaan pembangkang menyerbu masuk bangunan Parlimen di bandar Port-au-Prince untuk menganggu persidangan Senat.

“Saya mempertahankan diri. Pertahanan diri adalah hak asasi,” kata Fethiere kepada media tempatan, menambah yang beliau tidak mengetahui seorang wartawan cedera.

Jurugambar yang bekerja untuk The Associated Press itu cedera ringan selepas terkena serpihan peluru, menurut wartawan AFP yang melawatnya.

Jurugambar itu yang tidak mahu dinamakan, sedar tetapi masih terkejut dan sedang menerima rawatan di hospital.

Perdana Menteri Fritz-Willian Michel yang dilantik hujung Julai lalu, sebelum itu dijadualkan hadir di Senat bersama Jemaah Menterinya untuk meratifikasi dasar awamnya, langkah penting untuk membentuk kerajaan.

Sesi Senat ditangguhkan serta merta selepas kejadian tembakan itu.

Sebelum itu, beraturs-ratus penunjuk perasaan membanjiri jalanan ibu kota negara itu untuk meluahkan kekecewaan mereka terhadap Presiden Jovenel Moise, membentuk halangan di sepanjang jalan raya.

Penunjuk perasaan juga memecahkan tingkap dan pintu kedai serta merosakkan kereta ketika melintasi kawasan perniagaan di bandar itu. Sekurang-kurangnya dua buah kereta dibakar, menurut wartawan AFP yang berada di tempat rusuhan.

Moise yang sepatutnya terbang ke New York untuk menyertai Perhimpunan Agung PBB pada Ahad, menangguhkan perjalanan sehingga kerajaan baharu dibentuk. – AFP, 24 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen