SEKURANG-KURANGNYA 20 orang maut manakala berpuluh lagi cedera dalam rusuhan terbaru di wilayah Papua, Indonesia hari ini.
Pihak berkuasa berkata beberapa mangsa maut dalam bangunan yang dibakar oleh penunjuk perasaan.
“Kebanyakan mereka mati dalam kebakaran,” kata jurucakap tentera Papua, Eko Daryanto.
“Angka korban mungkin akan meningkat kerana ramai yang terperangkap dalam bangunan itu.”
Seramai 16 orang mati di Wamena di mana beratus penunjuk perasaan membakar pejabat kerajaan dan bangunan lain awal hari ini.
Mangsa yang terbunuh terdiri daripada 13 bukan penduduk Papua, manakala 3 lagi adalah penduduk tempatan, kata Daryanto.
Tambahnya, seorang anggota tentera pula mati ditikam di Jayapura ketika pasukan tentera bertempur dengan penunjuk perasaan.
Belum dapat dipastikan angka rasmi kematian di Jayapura akibat rusuhan, kata Daryanto.
Beliau berkata seramai 300 orang ditahan berhubung kejadian rusuhan hari ini. – AFP, 23 September, 2019.
Komen