CHINA hari ini menyatakan sokongan terhadap rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Taliban.
Sokongan itu disuarakan dua minggu selepas Presiden AS Donald Trump membatalkan rundingan mengenai cadangan perjanjian dengan Taliban.
Jurucakap kementerian luar China, Geng Shuang berkata Beijing berharap AS dan Taliban akan mengekalkan momentum untuk berunding.
Geng juga berkata Beijing menyokong dialog dan rundingan dalaman antara rakyat Afghanistan diadakan lebih awal untuk mencapai kedamaian, keamanan dan kestabilan.
Pemberontak Taliban menerusi Twitter berkata pegawai Beijing menyokong cadangan perjanjian AS-Taliban yang mungkin akan menyaksikan Washington akan mengundurkan tenteranya.
Awal bulan ini Trump membatalkan rundingan dengan Taliban susulan kematian seorang anggota tentera AS dalam letupan bom di Kabul.
Jurucakap pejabat politik Taliban di Qatar, Suhail Shaeen menerusi Twitter berkata delegasi yang diketuai oleh pemimpin politik tertinggi kumpulan itu, Mullah Abdul Ghani Baradar telah mengadakan pertemuan dengan delegasi diketuai wakil khas China ke Afghanistan, Deng Xijun di Beijing.
Menurut Shaheen, kedua-dua pihak membincangkan mengenai perjanjian dan rundingan AS-Taliban.
Katanya, wakil khas China berkata perjanjian AS-Taliban adalah baik untuk menyelesaikan masalah di Afghanistan dan Beijing menyokongnya. – AFP, 23 September, 2019.
Komen