TEHRAN adalah dalang serangan ke atas loji minyak Arab Saudi, kata Perdana Menteri Britain Boris Johnson kepada wartawan ketika dalam perjalanan ke New York untuk bertemu presiden Iran.
“UK mengaitkan kemungkinan yang tinggi bahawa Iran terbabit dengan serangan terhadap Aramco,” beliau dipetik berkata oleh agensi berita Press Association hari ini.
Johnson akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran Hassan Rouhani di Perhimpunan Agung PBB di New York.
Perdana menteri Britain itu juga akan berbincang mengenai serangan tersebut pada pertemuan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Angela Merkel.
“Kami rasa Iran memang bertanggungjawab menggunakan dua UAV (pesawat tanpa pemandu), dron dan peluru berpandu,” Johnson memberitahu wartawan.
“Kami akan bekerjasama dengan rakan-rakan kami, Amerika dan Eropah untuk bertindakbalas terhadap usaha menambah ketegangan di rantau Teluk.”
Amerika Syarikat menuduh Tehran menyerang loji minyak Arab Saudi di Abqaiq dan Khurais pada 14 September lalu.
Pemberontak Houthi yang juga sekutu Iran mengaku melakukan serangan.
Iran menafikan tuduhan ia dalang serangan. – AFP, 23 September, 2019.
Komen