Pesara kerajaan rugi RM575,350 ditipu 


SEORANG pesara kerajaan kerugian RM575,350 selepas diperdaya oleh satu sindiket Telefon Scam yang mendakwanya terlibat dengan kes pengubahan wang haram, di Kepala Batas baru-baru ini, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor hari ini.

Katanya mangsa, seorang wanita berusia 61 tahun itu, menerima panggilan telefon menggunakan nombor pejabat daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya dari Pejabat Pos Kuantan dan memaklumkan terdapat satu bungkusan milik wanita terbabit mengandungi barang terlarang.

“Mangsa kemudiannya telah disambungkan panggilan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan bercakap dengan seorang lelaki mengaku sebagai pegawai polis bernama Inspektor Ting sebelum dia memaklumkan wanita tersebut terlibat dengan kes pengubahan wang haram,” katanya kepada pemberita di Kepala Batas.

Katanya suspek yang mengaku Inspektor itu memberitahu mangsa yang mana kes itu masih dalam siasatan dan meminta agar wanita terbabit tidak memaklumkan kepada sesiapa memandangkan pesara berkenaan  merupakan suspek dalam kes tersebut serta meminta mangsa memberikan kerjasama sepenuhnya.

Menurutnya ekoran terkejut dan terlalu takut menerima maklumat itu, wanita itu tanpa berfikir panjang terus membuat pindahan wang melalui kaunter bank dengan mengeluarkan wang miliknya dan dimasukkan ke akaun bank yang diberikan sindiket berkenaan.

Noorzainy berkata wanita itu melakukan sebanyak 28 transaksi wang ke dalam 15 akaun bank membabitkan jumlah RM575,350 dan mangsa dimaklumkan bahawa kesemua wang tersebut adalah untuk tujuan siasatan dan keselamatan pesara kerajaan tersebut.

“Mangsa menggunakan kesemua duit simpanan, pencen, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan saham amanah untuk membuat pemindahan sejak 16 Ogos hingga 3 September lepas,” katanya.

Katanya wanita itu tampil membuat laporan polis semalam selepas dia gagal menghubungi suspek yang mengaku sebagai pegawai polis itu untuk bertanyakan status kes berkenaan dan percaya dirinya telah terperangkap sindiket penipuan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik-pemilik akaun yang digunakan sindiket berkenaan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah sindiket ini.

“Jangan mudah panik serta mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk mendapat pengesahan,” katanya. – Bernama, 23 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen