SEBUAH bangunan sekolah swasta di ibu kota Nairobi, Kenya runtuh pada Isnin mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh pelajar, lapor agensi berita Anadolu.
Menurut jurucakap kerajaan, Cyrus Oguna, bangunan dua tingkat itu runtuh ketika pelajar sedang mengikuti kelas pada sebelah pagi.
“Seramai 57 pelajar dikejarkan ke hospital, daripada jumlah itu tujuh disahkan meninggal dunia,” katanya.
Oguna berkata rawatan semua mangsa ditanggung pihak kerajaan.
Ahli Parlimen John Kiarie berkata kebanyakan mangsa yang terselamat disebabkan bantuan penduduk setempat sementara menunggu bantuan kecemasan tiba.
“Penduduk di sini adalah wira dan saya berterima kasih kerana mereka telah membantu menyelamatkan nyawa anak-anak kita, walaupun tujuh daripada mangsa meninggal dunia,” katanya.
Siasatan masih dijalankan, namun menurut penduduk tempatan Mary Wairimu “terdapat saluran pembetungan dibina di sebelah bangunan itu dan penduduk mengesyaki ia sebagai punca kejadian.” – Bernama, 23 September, 2019.
Komen