.jpg)
IKLIM politik negara berubah secara drastik sejak terjalinnya penyatuan antara Umno dan PAS baru-baru ini. Blok pembangkang yang didominasi oleh pemimpin politik daripada satu kaum sahaja dipercayai akan bergantung kepada naratif perkauman untuk meraih sokongan.
Naratif politik yang hanya berlandaskan sesuatu kaum dan bangsa dipercayai akan memberi impak yang negatif kepada hubungan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk negara.
Kerajaan Pakatan Harapan harus mengambil iktibar daripada kegagalan Barisan Nasional untuk memperkukuhkan perpaduan bangsa dengan mengambil sikap yang lebih proaktif untuk mencapai objektif ini.
Jabatan Perpaduan Negara boleh memimpin inisiatif ini dengan memperkenalkan dasar-dasar baharu yang dipercayai boleh memperkukuhkan perpaduan masyarakat.
Antara langkah penting yang boleh kerajaan ambil ialah untuk memastikan demografi rakyat Malaysia yang berbilang kaum dicerminkan dalam setiap lapisan masyarakat merentasi sektor pendidikan, perumahan, pekerjaan, pertubuhan, dan parti-parti politik negara.
Interaksi sosial, politik, dan ekonomi yang bersifat majmuk dan merentasi perbezaan kaum dan agama harus dipupuk untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat. Kerajaan persekutuan juga harus mengkaji pencapaian dasar-dasar integrasi kaum yang dilaksanakan di kerajaan jiran seperti Singapura yang mendapat pengiktirafan antarabangsa atas kejayaan-kejayaannya.
Keharmonian negara tidak mungkin akan dicapai tanpa usaha yang menyeluruh.
Objektif ini hanya akan dapat direalisasikan jika kerajaan menumpukan aspek-aspek penting seperti aspek keterangkuman, meritokrasi dan keadilan ketika merangka dasar-dasar perpaduan negara yang baharu.
Dengan perpaduan masyarakat yang kukuh, negara ini pasti akan berjaya untuk mencapai kemajuan, kesejahteraan, peningkatan taraf hidup dan kestabilan sosial, politik dan ekonomi yang disasarkan kerajaan. – 23 September, 2019
* Na’im Brundage merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen