Indonesia kenal pasti kecacatan rekaan punca nahas Lion Air


Serpihan pesawat Lion Air yang terhempas pada Oktober tahun lepas dan mengorbankan 189 orang. – Gambar EPA, 23 September, 2019.

PIHAK berkuasa Indonesia berkata kecacatan rekaan dan kecuaian pemantauan MAX Boeing 737 sebagai punca nahas pesawat Lion Air 2018, lapor Wall Street Journal pada Ahad.

Laporan mengenai kemalangan itu, yang akan dikeluarkan secara rasmi pada awal November, juga menyalahkan juruterbang dan masalah penyelenggaraan sehingga mengorbankan 189 orang sejurus selepas ia berlepas dari Jakarta pada Oktober lepas.

Model kapal terbang Boeing itu kemudian digantung di seluruh dunia selepas pesawat Ethiopian Airlines 737 MAX terhempas sebaik sahaja berlepas dari Addis Ababa pada Mac dan membunuh 157 orang.

Siasatan awal kedua-dua kemalangan melibatkan  sistem anti-pegun, Sistem Penambahan Kriteria Pengemudian (MCAS) yang direka khusus untuk 737 MAX.

Penyiasat Indonesia masih mungkin mengubah penemuan mereka, yang dikongsi bersama  Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), kata Wall Street Journal.

Pegawai AS dijangka melawat Indonesia pada akhir September untuk membincangkan laporan tersebut, di mana penyidik ​​Indonesia menyenaraikan kira-kira 100 faktor bagi kemalangan tersebut.

Walaupun NTSB tidak mungkin menafikan penemuan itu, Boeing dan FAA bimbang ia “akan memberi penekanan kepada reka bentuk dan kesilapan pensijilan FAA,” lapor akhbar itu dengan menyebut beberapa sumber yang tidak dinamakan hampir dengan perkara itu.

“Boeing terus menyokong siasatan memandangkan laporan kemalangan itu sudah selesai,” jurucakap syarikat memberitahu AFP.

FAA dan NTSB enggan mengulas berhubung soalan kepada pihak berkuasa Indonesia.

NTSB sedang bersedia untuk mengumumkan cadangan “sekitar akhir bulan” untuk memperbaiki latihan juruterbang dan krew, serta proses pensijilan FAA untuk model kapal terbang baru, menurut akhbar itu.

Satu panel pengawal selia antarabangsa yang ditubuhkan oleh FAA juga dijangka pada beberapaminggu akan datang mengemukakan laporan penting mengenai hubungan Boeing dengan agensi itu.

Ketua FAA baru, Steve Dickson akan bertemu dengan rakan sejawatannya di peringkat antarabangsa pada Isnin menjelang mesyuarat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa di Montreal bagi membincangkan perubahan yang dicadangkan oleh Boeing kepada 737 MAX serta kebenaran untuk beroperasi semula. – AFP, 23 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen