Mahkamah Tinggi tolak permohonan tangguh perbicaraan rasuah Isa Samad


Bede Hong

Bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad berdepan satu dakwaan pecah amanah dan sembilan kes rasuah kerana menerima suapan berjumlah RM3.09 juta berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching pada 29 April 2014. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan oleh pihak pendakwa raya untuk menangguhkan perbicaraan rasuah melibatkan bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Mohd Isa Abdul Samad.

Perbicaraan dijangka bermula 7 Oktober ini.

Pihak pendakwa raya memohon kes itu ditangguhkan atas alasan pendakwa raya Gopal Sri Ram sedang sibuk dalam perbicaraan 1Malaysian Development Bhd (1MDB) yang sedang berlangsung yang mana bekas hakim itu juga mengetuai pendakwaan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagaimanapun menolak permohonan itu dan berkata Pejabat Peguam Negara mempunyai orang lain untuk menjadi pendakwa raya dalam perbicaraan Isa Samad.

“Walaupun mahkamah tidak mahu mempersoalkan pelantikannya, diketahui bahawa Gopal Sri Ram telah menyertai (perbicaraan 1MDB), yang akan diteruskan sekurang-kurangnya sehingga November,” katanya selepas Sri Ram muncul di mahkamah pagi ini.

“Pada pandangan saya, apa-apa kelewatan untuk memulakan perbicaraan ini adalah tidak perlu dan tidak wajar,” katanya.

Mahkamah menetapkan 7 hingga 9 dan 14 hingga 25 Oktober sebagai tarikh perbicaraan.

Isa pertama kali didakwa di mahkamah sesyen pada Disember tahun lepas dan kemudiannya ditahan semula di mahkamah tinggi pada April.

Menjelang Mei pihak pendakwa raya telah menyerahkan dokumen pembuktian pra-perbicaraan.

Isa berdepan satu dakwaan pecah amanah dan sembilan kes rasuah kerana menerima suapan berjumlah RM3.09 juta berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching pada 29 April 2014.

Hotel berkenaan Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching Sarawak telah dibeli oleg Felda Investment Corp Sdn Bhd dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan pengarah Felda.

Pada masa itu Isa merupakan pengerusi Felda. – 23 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen