PULUHAN ribu penunjuk perasaan anti-gugur bayi menyertai perhimpunan di ibu negara Slovakia, Bratislava semalam menentang undang-undang yang membenarkan pengguguran sehingga minggu ke-12 kehamilan, yang berkuatkuasa di negara Katolik itu.
Himpunan National March for Life berjaya menarik 50,000 orang, menurut penganjurnya Catholic Episcopal Conference of Slovakia.
“Manusia tidak memberikan nyawa; ia adalah hadiah yang diberikan kepadanya,” kata Stanislav Zvolensky, uskup Bratislava, kepada mereka yang hadir.
“Kami mahu kebebasan kepada kanak-kanak yang belum lahir supaya mereka dapat menjalani kehidupan manusia dengan bebas,” kata seorang pemimpin himpunan, Marek Michalcik, kepada orang ramai.
Penganjur mendesak pegawai awam secara aktif menyokong institusi yang memberi tumpuan kepada membantu keluarga memerlukan, serta wanita hamil dan anak-anak mereka.
Sebanyak 66% penduduk Slovak iaitu 5.4 juta adalah beragama Katolik.
Tinjauan pendapat yang dilakukan awal bulan ini oleh agensi bebas, Focus menunjukkan hanya 11.6% daripada penduduk negara itu mahu undang-undang pengguguran bayi yang lebih ketat.
Ketika mereka bersiap untuk pilihan raya umum pada Februari depan, parti pemerintah Smer Social Democrats dan rakan gabungan parti nasionalis SNS membatalkan rancangan memperketatkan akses kepada pengguguran dengan mengenakan had kepada lapan minggu kehamilan.
Bilangan pengguguran di negara ini berkurangan.
Pada 1997, lebih 20,000 wanita memilih untuk melakukan pengguguran, sementara tahun lepas, hanya 7,350 yang melakukannya, kata Pejabat Statistik Kebangsaan. – AFP, 23 September, 2019.
Komen