-2.jpg)
MINGGU lepas saya menghadiri dua program anjuran PKR, pada Rabu atas undangan Biro Pendidikan Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan dan pada hujung minggu, saya menghabiskan masa dengan mengikuti sebuah kursus “demokrasi” anjuran pejabat Anwar Ibrahim.
Sebagai orang luar saya berkesempatan untuk menghadiri dua “kem” bagi dua “kelompok” yang ada dalam PKR.
Namun, saya tidak berminat untuk membahaskan hal ini. Ia adalah hal yang biasa untuk sebuah organisasi besar memiliki konflik dan cabaran. Terpulang kepada pimpinan mereka untuk menangani masalah itu.
Isu kosmetik
Pada program pertama, kami membincangkan berkenaan perpaduan dan kesederhanaan. Forum ini sepatutnya menampilkan setiausaha politik kepada Mohamed Azmin Ali, namun beliau ada kekangan.
Kalau tidak kerana jerebu, sudah tentu kita akan merasakan teriknya isu perkauman yang melanda sejak akhir-akhir ini.
Saya berpandangan kehadiran isu ini lebih bersifat kosmetik terhadap apa yang sebenarnya berlaku. Ia adalah isu “tidak beres” yang sekian lama dipendamkan oleh masyarakat, lalu kewujudan isu seperti tulisan jawi, Zakir Naik adalah kenderaan untuk meluahkan rasa yang terbuku.
Apa yang sebenarnya berlaku adalah soal kemiskinan dan keadilan sosial. Walaupun masyarakat Melayu dan Bumiputera memiliki pelbagai keistimewaan, namun masalah kemiskinan dalam kalangan mereka masih besar dan ini memberikan tekanan kepada mereka.
Kemudian mereka lihat pula “bangsa lain” hidup dengan kaya-raya dan menjadi “tuan” di padang pekerjaan. Situasi ini menyebabkan mereka merasa pendatang di tanah air sendiri.
Bagi masyarakat bukan Melayu/Bumiputera pula, hak istimewa yang mereka tidak miliki menyebabkan mereka merasa diri tidak dilayan dengan adil, sedangkan mereka lahir dan cintakan negara sama seperti rakyat lain.
Saya fikir ini adalah dua isu utama apabila kita membicarakan konflik antara kumpulan Melayu dan bukan Melayu.
Kedua-dua isu ini perlu dibincangkan dengan jujur dan berani, kita tidak boleh lari lagi; sebelum ini ramai yang mahu membutakan mata kerana ‘malu’ berbicara soal yang penting ini. Akhirnya ketidakpuasan hati menggunung dan menanti hari meletus.
Adakah kita bersedia mengubah polisi berasaskan kelas?
Mengubah atau meminda hak keistimewaan Melayu hanya boleh dilakukan dengan persetujuan orang Melayu. Tanpa sokongan masyarakat Melayu, ia sudah tentu gagal.
Setelah sekian lama wujudnya keistimewaan ini, nampaknya ia hanya memberi keuntungan kepada elit Melayu dan kurang memberi keuntungan kepada masyarakat Melayu yang miskin.
Mengambil contoh Laporan Simpanan Amanah Saham Bumiputera 2018, lebih 7 juta akaun mempunyai saiz di bawah RM5,000.
Ia pula digunakan semaksimumnya oleh elit Melayu dengan meletakkan seberapa banyak wang ke ASB untuk mendapatkan pulangan. Begitu juga yang terjadi pada Tabung Haji.
Masyarakat Melayu tidak perlu bimbang dengan polisi berasaskan kelas kerana majoriti rakyat yang berada dalam kumpulan B40 adalah Melayu dan Bumiputera. Mereka ini yang akan dibantu.
Begitu juga dengan masyarakat lain; konsepnya – sesiapa sahaja yang memerlukan, perlu dibantu, tanpa mengira agama dan bangsa.
Pada akhir forum saya berkata buat masa ini ia cuma angan-angan. Namun tidak mustahil dalam 20-30 tahun akan datang ia akan terjadi, asal sahaja masyarakat terus diberikan kefahaman dan politikus mempunyai “political will” yang tinggi untuk melaksanakan perkara ini.
Pengkaderan dan pemantapan ahli
Untuk program kedua, saya menghadiri sebuah program ‘demokrasi’ yang dijenamakan Diwan. Program seperti ini biasa dianjurkan oleh parti politik, NGO atau “think tank”. Kalau dahulu jenama Sekolah Demokrasi agak popular dalam kalangan anak muda, kini ada Diwan.
Saya menjadi minoriti dalam program ini kerana bukan ahli PKR. Program ini cuba memberi ilmu tentang asas-asas yang diperlukan untuk terlibat dengan lebih aktif dalam demokrasi. Ia hampir serupa dengan program-program yang lain.
Namun, dalam program ini Anwar sempat mengadakan perbincangan dengan para peserta. Saya sempat bertanyakan soal ideologi PKR yang bagi saya sebagai orang luar menjadi salah satu penyebab penanaman biji benih ideologi dalam kalangan ahli muda mereka sedikit bermasalah.
PKR terbina atas “sosok”, bukan ideologi, dan hal ini diakui sendiri oleh Anwar ketika menjawab soalan.
Ideologi terbentuk selepas beberapa ketika PKR dibentuk, walaupun sebelum Anwar ditangkap ada Deklarasi Permatang Pauh.
Berbeza dengan PAS yang ada ideologi “Islam” dan Umno yang ada “Melayu”; PKR ada “Reformasi”. Hal ini yang mencabar bagi mereka, kerana pentakrifan “reformasi” akan berubah-ubah dan dipimpin oleh “sosok”.
Lebih-lebih lagi ia bukanlah sentimen yang kuat seperti agama dan bangsa, sebab itulah ketika PKR ditubuhkan, ramai yang melihat ia sebagai “bunuh diri”.
Telahan orang-orang ini salah kerana PKR masih berdiri sebagai parti berbilang kaum yang mempunyai kerusi terbanyak dalam Pakatan Harapan (PH).
Jika isu “ideologi” parti ini segera dibereskan (barangkali sebab ini mereka menubuhkan Diwan), maka isu disebabkan “sosok” akan mula berkurang, walaupun tidak akan habis sepenuhnya.
Kembali menjunjung semangat Reformasi
Seorang pemanjat pokok kelapa harus ingat bagaimana dia boleh naik ke atas pokok kelapa, supaya nanti dia tahu turun, jika dia terlalu asyik setelah berhasil mendapat kelapa, dia akan jatuh tersungkur.
Ahli PKR harus ingat bagaimana perjuangan mereka bermula – kerana sosok Anwar ketika itu dikatakan dizalimi dan ia membakar semangat masyarakat pelbagai kaum untuk sama-sama bangkit demi kebaikan negara.
Reformasi akan tidak berguna kalau mereka hanya mahu berbincang seputar isu kuasa. Ini antara hal yang ditekankan oleh Anwar.
Ayat ini akan membuatkan saya kelihatan seperti macai. Namun jika saya ada sahabat ahli PKR – saya akan menyarankan mereka menyokong kepimpinan Anwar.
Bukan kerana tidak gemar akan kelompok yang kelihatan menentangnya, namun asas organisasi adalah menghormati keputusan pimpinan dan keputusan mesyuarat pimpinan. Jika merasakan Anwar sudah tidak layak, sewajarnya individu itu mencabarnya dalam pemilihan parti.
Apabila bercakap tentang PH dalam lingkungan sosial saya, ada tiga kesimpulan yang berbeza. Pertama, mereka kecewa dengan PH; kedua, mereka berpuas hati dengan PH dan ketiga, ada yang menanti Anwar menjadi perdana menteri.
Berbeza dengan kebanyakan rakan saya, saya harap PKR akan berjaya menyelesaikan konflik dan kembali bersatu untuk membina kerajaan yang “solid”.
PKR unik kerana konsep berbilang bangsanya, memang benar mereka ada banyak isu; namun sekurang-kurang ia bukan soal pergaduhan sentimen yang menyebabkan kita hilang fokus pada isu yang lebih penting. Itulah hal menarik sepanjang seminggu saya menjadi “ahli tidak berdaftar” PKR.
* Rahman Imuda, bekas aktivis mahasiswa dan penulis buku.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen