Curi motosikal, 11 warga asing dicekup


SEBELAS lelaki warga asing ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Rabu lepas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di Negeri Sembilan dan Johor.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata kesemua suspek yang berusia antara 30-an hingga 40-an itu ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah ladang di jalan Tampin-Linggi, pada pukul 2 hingga 6 pagi.

Katanya, dalam serbuan itu juga, polis turut merampas 11 motosikal curi yang dipercayai dicuri di sekitar Port Dickson, Seremban dan Segamat, Johor. 

“Siasat awal mendapati kesemua suspek mengaku menggunakan motosikal untuk kegunaan kerja di ladang dan hasil semakan lanjut yang dibuat ke atas motosikal yang dirampas, polis mendapati enjin dan nombor chasis telah diganggu selain motosikal terbabit pernah dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau percaya dengan tertangkapnya kesemua suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan 11 kes kecurian motosikal.

Aidi Sham berkata kesemua suspek kini direman selama 14 hari bermula dari Rabu lepas. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. – Bernama, 22 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen