Pergaduhan tercetus di pusat beli belah Hong Kong 


Lapangan terbang yang dikatakan kelapan paling sibuk di dunia menjadi sasaran utama penunjuk perasaan yang mendesak hak kebebasan demokratik dan pentadbiran telus polis. – Gambar AFP, 22 September, 2019.

PENUNJUK perasaan pro-demokrasi bertempur dengan polis rusuhan di luar pusat membeli-belah pada hari Ahad.

Kejadian itu juga menyaksikan beberapa aktivis merosakkan stesen kereta api bawah tanah berdekatan dan menurunkan bendera China. Bagaimanapun perancangan untuk mengganggu lapangan terbang tidak menjadi kenyataan.

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah di utara bandar Sha Tin pada petang Ahad, menjadikan orang ramai yang berhimpun secara aman di dalam sebuah pusat membeli-belah menjadi tidak terkawal.

Pihak berkuasa juga turut mengurangkan perjalanan komuter dan bas ke lapangan terbang bandar itu sementara polis meningkatkan pemeriksaan keselamatan bagi menghentikan orang ramai berhimpun di pusat pengangkutan udara yang sibuk tersebut.

Lapangan terbang yang dikatakan kelapan paling sibuk di dunia menjadi sasaran utama penunjuk perasaan yang mendesak hak kebebasan demokratik dan pentadbiran telus polis.

Forum dalam talian yang digunakan gerakan tanpa pemimpin itu telah menyeru orang ramai memberikan “ujian tekanan” di lapangan terbang pada Ahad, dengan kaedah mengganggu perjalanan atau menduduki bangunan.

Ribuan lagi dilihat berkumpul di sebuah pusat membeli-belah di bandar Sha Tin untuk menyanyikan lagu-lagu protes dan turut beramai-ramai membuat origami burung bangau.

Perhimpunan hari Ahad itu adalah yang terkini sejak 16 minggu berturut-turut protes itu dijalankan di Hong Kong.

Banyak kedai-kedai di dalam kompleks beli belah ditutup namun perhimpunan yang diharamkan itu tetap berjalan secara aman di sebelah petang.

“Walaupun kami sangat letih, kami tidak boleh berputus asa demi hak kami,” kata Ching, seorang guru yang ditemui di perhimpunan itu

“Jika ia (pergerakan) harus berjalan hingga 100 hari, 200 hari atau bahkan 1,000 hari dan kami masih tidak mendapat apa yang kami mahu, kami akan terus keluar ke jalan raya,” katanya lagi. – AFP, 22 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen