AKADEMI Motion Pictures dijadual mengadakan sesi tergempar pada Sabtu bagi membincangkan penyingkiran Harvey Weinstein ketika tuduhan gangguan seksual, serangan dan rogol semakin banyak dikenakan terhadap produser terkenal itu.
Semakin banyak tuduhan muncul sejak berita menggemparkan itu disiarkan di New York Times mendakwa sejarah perbuatan salah laku seksual itu sejak berdekad lalu.
Pada khamis, pelakon Amerika Rose McGowan menjadi wanita keempat yang menuduh tokoh dunia perfileman terkemuka berusia 65 tahun itu merogolnya.
Akademi mengeluarkan kenyataan menggambarkan tuduhan itu sebagai menjijikkan, dan mesyuarat 54 ahli dewannya akan diadakan.
Akademi itu dijangka tidak mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat yang dijadualkan pada 10 pagi itu, tetapi berkata akan mengeluarkan kenyataan berhubung prosiding berkenaan.
Sejak pendedahan skandal itu, beberapa aktres termasuk Mira Sorvino, Rosanna Arquette, Gwyneth Paltrow, Angelina Jolie dan Lea Seydoux berkata mereka diganggu secara seksual oleh penerbit itu.
Weinstein muncul di khalayak kali pertama sejak kekecohan itu apabila paparazi menunggunya keluar dari rumah anak perempuannya di Los Angeles pada Rabu.
“Saya tidak ok, tetapi saya sedang cuba,” katanya dalam satu video diperoleh ABC.
“Saya perlu dapatkan bantuan, anda tahulah, kita semua buat silap.” – AFP, 14 Oktober, 2017.
Komen