Padi tak jadi kerana sisa kandang babi, kilang di Tasek Gelugor


Zaim Ibrahim

Air sungai berwarna hitam, keruh dan busuk menjadi sumber bagi 350 pesawah dari daerah Tasek Gelugor. – Gambar The Malaysian Insight, 22 September, 2019.

BAU busuk menyengat hidung kalau kita tiba di dekat Sungai Kreh di Kampung Tok Pedu, sungai yang mengairi kawasan sawah padi di sekitar daerah Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Sungainya hitam dan keruh, kesan sisa buangan dari kandangan babi dan kilang di hulu sungai, kata pesawah dan nelayan kepada The Malaysian Insight.

Pencemaran itu menyebabkan sawah padi mereka tidak menjadi dan hasil sungai pun tiada lagi, keluh mereka.

Jika dahulu mereka dapat meraih hasil RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, kini kawasan sawah berkeluasan 40 hektar itu hanya mengeluarkan bunga dan daun hijau tanpa hasil, kata petani.

Selain di Kampung Tok Pedu, pesawah yang terjejas adalah penduduk yang mengusahakan padi di Permatang Berangan, Kampung Melintas Air Kecil, dan Kampung Melintas Air Besar.

Air sungai yang berwarna hitam, keruh dan busuk inilah sumber bagi 350 pesawah dari daerah Tasek Gelugor, kata Ketua Unit Peladang Kampung Tok Pedu, Ahmad Sulaiman.

“Pokok itu hijau tetapi hasilnya tiada. Aliran Sungai Kreh yang bawa najis babi masuk ke kawasan bendang menyebabkan tanah menerima nitrogen banyak.

“Saya rasa ada dua punca iaitu sistem kumbahan babi dan kilang-kilang pun ada. Cuma tidak tahu sama ada kilang haram atau berlesen.

Jika dahulu mereka dapat meraih hasil RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, kini kawasan sawah berkeluasan 40 hektar itu hanya mengeluarkan bunga dan daun hijau tanpa hasil, kata petani. – Gambar The Malaysian Insight, 22 September, 2019.

Ahmad, 70, berkata keluhan yang disuarakan pesawah tersebut masih tidak mendatangkan hasil.

“Kami pernah anjurkan demostrasi tahun ini, tetapi hingga sekarang tiada tindakan susulan. Jabatan Pengaliran Sungai dan Jabatan Alam Sekitar pernah datang untuk buat kajian terhadap air, tetapi tiada perubahan juga,” katanya.

Tambahnya, penduduk kampung juga sudah tawar hati untuk turun ke bendang akibat pendapatan mereka yang kian terjejas teruk.

“Orang kampung pun sudah malas turun ke bendang, turun pun untuk apa bukannya ada hasil,” jelasnya.

Seorang petani dari Kampung Melintas Air Besar, Ismail Saad, 65, berkata masalah tersebut kini meruncing kerana pendapatan mereka terjejas teruk akibat pencemaran Sungai Kreh.

“Lima tahun lepas, RM2,000 ke RM 3,000 boleh dapat. Sekarang nak dapat RM 1,000 pun susah.

“Modal sahaja yang keluar untuk baja, peralatan, dan traktor. Hasil kami tidak dapat atasi modal yang dikeluarkan,” jelasnya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Beliau berkata, masalah yang bermula sejak 10 tahun lalu itu berpunca daripada sistem kumbahan sisa kandang babi tidak diuruskan dengan baik.

“Ikut lesen mereka ternak 100 ekor, tapi sebenarnya mungkin 1,000 ekor. Kolam yang ada tidak mampu tampung jadi mereka pecahkan, air kumbahan mengalir ke sungai terdekat.

“Kalau waktu hujan, kami tak boleh duduk di rumah kerana bau terlalu busuk,” jelasnya.

Pengusaha yang bergantung hidup kepada sungai juga mengeluh kerana tidak lagi dapat meraih pendapatan ekoan pencemaran Sungai Kreh.

Air sungai berwarna hitam, keruh dan busuk menjadi sumber bagi 350 pesawah dari daerah Tasek Gelugor. – Gambar The Malaysian Insight, 22 September, 2019.

Seorang pengusaha mi udang di Baharuddin Abdullah, 45, berkata perniagaannya terjejas terjejas sejak dua bulan lalu kerana sukar mendapatkan udang di sungai.

“Kalau sebelum ini saya boleh beli 10kg daripada nelayan secara harian, sekarang ini nak beli seekor pun tak boleh.

“Macam mana nak beli, nelayan pun dapat udang dua tiga ekor sahaja, mereka tidak mahu turun ke sungai lagi,” kata beliau.

Kedainya di Kubang Semang itu bergantung kepada hasil nelayan yang mencari udang di anak sungai Sungai Terus yang mengalir ke Sungai Kreh.

Untuk mengatasi masalah itu, Jabatan Perikanan melepaskan benih ikan dan udang namun beliau percaya langkah itu hanya sia-sia.

“3 Julai lalu, Jabatan Perikanan lepaskan beberapa jenis anak ikan sebanyak 100,000. Kemudian, 18 Ogos lepaskan anak ikan lampan 50,000 dan benih udang 90,000 untuk tambah pendapatan nelayan.

“Tetapi, apabila kejadian seperti ini berlaku, kenapa tiada tindakan, tidak dipantau? Hanya buang duit dan rugi besar,” tegas beliau lagi.

April lalu, penduduk kampung menganjurkan demonstrasi namun tiada tindakan susulan selepas itu.

The Malaysian Insight sedang mendapatkan maklum balas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya, dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, Rozali Mahamud berkenaan isu ini.

Sementara itu, exco alam sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, kandang babi di kawasan itu berlesen tetapi sistem kumbahannya tidak lestari.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight kerajaan negeri sedar masalah itu dan telah memberi amaran tegas kepada pengusaha kandang babi di Kampung Selamat.

Katanya, kerajaan negeri sudah mengarahkan semua pengusaha kandang babi di Pulau Pinang untuk melaksanakan sistem perternakan tertutup berkuat kuasa 31 Disember ini.

“Jika mereka berdegil, kami akan ambil tindakan dan tidak teragak-agak untuk tutup kandang-kandang itu. 

“Saya faham, keperluan daging khinzir untuk komuniti bukan Islam dalam aspek keselamatan makanan tetapi ia bukan alasan untuk mencemarkan alam sekitar,” katanya. – 21 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen