Bekas calon MCA sedia bertanding semula di Tanjung Piai


Yeoh Cheong Ee

Bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal, Wee Jeck Seng (tiga dari kiri) berkata terserah kepada pusat pimpinan parti untuk menamakan calon yang sesuai. – Gambar YouTube, 22 September, 2019.

WEE Jeck Seng sedia untuk bertanding sekali lagi di kerusi Parlimen Tanjung Piai tetapi beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sama ada mahu mencalonkannya.

Bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal itu berkata terserah kepada pimpinan parti pusat untuk menamakan calon yang sesuai.

“Masih terlalu awal sama ada saya dipilih untuk bertanding atau tidak. Terpulang kepada parti untuk menentukannya. Saya kan menghormati dan mematuhi keputusan mereka.

“Sebagai ketua bahagian, saya mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan kerusi itu dan saya sentiasa bersedia,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Wee mengulas sama ada kemungkinan beliau dicalonkan dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai selepas penyandangnya, Md Farid Md Rafik meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 42 tahun, semalam.

“Jika pemimpin parti mahu menghantar saya bertanding di Tanjung Piai, saya akan menurut arahan mereka. Tetapi sudah pasti, mereka masih belum berbincang apa-apa lagi.”

Wee berkata masih terlalu awal untuk membincangkan peluang mereka untuk  menang memandangkan Farid baru sahaja meninggal dunia.

Terdahulu, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata PRK Tanjung Piai merupakan ujian besar buat Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata semua parti komponen PH perlu melakukan yang terbaik mempertahankan kerusi Parlimen itu yang dimenangi arwah Farid dengan majoriti tipis 524 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Farid dari Bersatu, merupakan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam PRU14 lalu, arwah menewaskan Wee dan calon PAS Nordin Othman untuk memenangi Tanjung Piai dengan beza 524 undi. – 22 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen