POLIS mesti menjelaskan luka tembakan ke atas tiga mayat lelaki yang ditembak mati oleh polis kerana mereka kelihatan menembak di bawah dasar “tembak sehingga mati”, kata peguam bagi keluarga suspek dalam surat terbuka kepada Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
P. Uthayakumar juga berkata terdapat kecederaan lain pada salah satu bahagian tubuh lelaki yang tidak dapat dijelaskan jika mereka ditembak selepas dikejar polis.
“Semua luka tembakan berada di dada, muka, dan bukan di kaki, ia tidak konsisten dengan kejadian tembak-menembak antara polis dan suspek. Lima anak-anak dan keluarganya mahu jawapan,” kata peguam itu di halaman Facebook yang ditujukan kepada Muhyiddin.
Ketiga-tiga lelaki itu adalah Janarthanan Vijayaratnam, seorang warga Sri Lanka dengan status penduduk tetap (PR) di Britain; dan iparnya, Thavaselvan Govindasamy; serta seorang kawan, Maghendran Santhirasegaran.
Mereka ditembak mati pada 14 September lalu dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Batu Arang di Rawang, Selangor. Polis berkata ketiga-tiga mereka berada di dalam kereta dan tidak mematuhi perintah untuk menghentikan kenderaan.
Uthayakumar berkata Janarthanan dan Magendran mempunyai luka tembakan di dada, dan Thavaselvan di dada dan kepala.
“Keluarga minta jawapan dari Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yasin dan Ketua Polis Negara, Hamid Bador, mengapa tidak ada luka tembakan pada kaki ... jika ia bukan arahan tembak sehingga mati oleh polis Malaysia,” katanya.
Uthayakumar menambah bahawa terdapat juga lebam pada kepala dan badan Thavaselvan, di samping tangan dan giginya patah.
Kecederaan itu diberitahu kepada peguam oleh balu Thavaselvan yang menerima mayat suaminya dari rumah mayat Sungai Buloh, Uthayakumar menambah.
Uthayakumar juga mempersoalkan berhubung isteri Janarthanan, Moganambal Govindasamy, yang dikatakan pada masa itu berada di dalam kereta tetapi kini dilaporkan hilang. Polis mengatakan tiada bukti bahawa seorang wanita berada di dalam kereta dengan suspek.
Uthayakumar berkata beliau telah menghantar surat kepada ketua polis negara bertarikh 17 September dan 20 September mengenai Moganambal tetapi masih belum dimaklumkan mengenai kedudukannya ketika ini dan menyifatkannya sebagai salah satu kes “kehilangan paksa”.
“Ini adalah tragedi dan sudah cukup sengsara apabila bapa mereka dibunuh oleh polis, bahkan bagaimana anak-anak mereka dapat meninggalkan negara minggu depan demi menyambung semula sesi persekolahan tanpa ibu mereka,” katanya.
KPN telah memohon inkues berhubung kejadian tembakan itu, yang disifatkan Uthayakumar sebagai pembaziran masa.
Keluarga Janarthanan juga mempertikaikan dakwaan pihak polis bahawa dia terlibat dalam kes pecah rumah pada tahun 2016, ketika dia masih berada di Britain pada masa itu, dan tidak ada catatan berhubung kemasukannya ke Malaysia baru-baru ini sebelum kematiannya. – 22 September, 2019.
Komen