Teluk 'tidak selamat' dengan kehadiran kuasa asing, kata Iran


Ketegangan semakin memuncak antara Iran dan Amerika Syarikat selepas serangan pada 14 September terhadap loji minyak Saudi. Susulan kejadian itu, Washington dan Riyadh menyalahkan Tehran sebagai dalang serangan. – Gambar AFP, 21 September, 2019.

PRESIDEN Iran Hassan Rouhani pada hari Ahad mengatakan bahawa kehadiran pasukan asing menimbulkan rasa “tidak selamat” di wilayah Teluk, selepas Amerika Syarikat mengarahkan penempatan pasukan tenteranya di rantau itu.

“Pasukan asing boleh menimbulkan masalah dan rasa tidak selamat bagi rakyat dan rantau kita,” kata Rouhani dalam ucapan televisyen pada acara perarakan tentera yang diadakan setiap tahun di negara itu.

Beliau turut berkata bahawa Iran akan menyerahkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebuah rancangan kerjasama serantau bagi memastikan keamanan terjamin di rantau tersebut.

Ketegangan semakin memuncak antara Iran dan Amerika Syarikat selepas serangan pada 14 September terhadap loji minyak Saudi. Susulan kejadian itu, Washington dan Riyadh menyalahkan Tehran sebagai dalang serangan .

Berikutan serangan terbaru itu, Amerika Syarikat mengumumkan pada hari Jumaat bahawa ia menghantar pasukannya sebagai bantuan kepada Arab Saudi demi memenuhi “permintaan kerajaan Saudi”.

Dalam ucapannya pada Ahad, Rouhani menggesa kuasa asing di rantau Teluk untuk “keluar” dari rantau itu .

“Sekiranya mereka ikhlas, maka mereka tidak sepatutnya menjadikan rantau kita sebagai tempat senjata dihunuskan,” katanya.

“Kehadiran anda sentiasa membawa kepedihan dan kesengsaraan bagi rantau ini, semakin jauh anda menjauhkan diri dari rantau kami dan negara-negara kami, semakin selamatlah rantau ini.”

Rouhani berkata Iran akan membentangkan rancangan perdamaian kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam masa terdekat.

“Dalam saat bersejarah, sensitif dan penting ini, kami mengumumkan kepada jiran-jiran kami, bahawa kami membuka huluran persahabatan dan persaudaraan kepada mereka,” katanya. – AFP, 22 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen