JPN usul masuk maklumat DNA dalam sijil kelahiran


JPN juga akan memberhentikan serta-merta pendaftaran lewat kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negeri dengan serta-merta, kata Menetri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2019.

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) mengusulkan supaya bank data deoxyribonucleic acid (DNA) diwujud dan dimasukkan ke dalam sijil kelahiran untuk memperkemas dan memperketatkan Prosedur Pengendalian Standard (SOP) sedia ada jabatan itu, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata JPN juga akan memberhentikan pendaftaran lewat kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negeri dengan serta-merta.

“Pendaftaran lewat kelahiran hanya boleh dilakukan di ibu pejabat JPN untuk semak dan imbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JPN juga akan menukar pegawainya selepas dua tahun dan menyemak semula semua sijil kelahiran yang belum dituntut untuk dinyahaktifkan daripada pangkalan sistem, tambah Muhyiddin.

“JPN akan menyahaktif sijil kelahiran yang belum dituntut daripada pangkalan sistem bagi mengelakkan salah guna.”

Pada 19 Ogos lalu, 20 individu berumur antara 32 dan 70 tahun termasuk penolong pengarah JPN ditahan dalam satu operasi khas berkenaan sindiket penjualan kad pengenalan (MyKad) kepada warga China.

Turut ditahan adalah 17 rakyat tempatan, dua warga China dan seorang warga India.

Suspek yang ditahan merupakan ejen, orang tengah serta pemegang MyKad, sijil kelahiran dan pasport palsu.

Siasatan mendedahkan ejen sindiket akan mengenakan bayaran antara RM10,000 hingga RM600,000 kepada warga asing.

Kesemua suspek ditahan reman 28 hari dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Minggu lepas, seramai enam orang termasuk penolong pengarah JPN tersebut didakwa dengan 32 pertuduhan atas pelbagai kesalahan kerana menjual MyKad kepada warga asing.

– 22 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen