PEMILIK dan pewaris tanah Kampong Bharu menolak tawaran kerajaan untuk membeli tanah mereka pada kadar maksimum RM850 kaki persegi kerana merasakan nilai itu terlalu rendah.
Mereka berpegang kepada kenyataan awal Perdana Menteri Dr Mahathir yang menyebut harga tanah di kawasan tersebut sekurang-kurangany RM2,000 hingga RM2,500 sekaki persegi.
Tuan tanah berkenaan juga berpendapat harga maksimum RM850 kaki persegi itu terlalu rendah berbanding nilai pasaran tanah di kawasan sekitar antara RM1,500 hingga RM3,000 sekaki persegi.
Penduduk dan pemilik ini juga berpendapat, kerajaan menyekat mereka daripada memperolehi nilai yang lebih tinggi menggunakan alasan status tanah itu adalah hak Melayu dan Bumiputera.
Aziz Alias, 68, berkata, tanah Kampong Bharu “dikunci” daripada nilai asalnya disebabkan status tersebut membuatkan pemilik sepertinya seakan ditekan untuk menerima harga tersebut.
“Isu utama di Kampong Bharu adalah tanah itu ada banyak sekatan. Kita mesti buka sekatan ke atas tanah, kita kena buka pagar supaya bebas.
“Tanah itu hak milik Melayu dan status pertanian, untuk dapatkan harga yang boleh dirunding lagi kita kena bebaskan tanah itu,” kata pemaju perumahan itu kepada The Malaysian Insight.

Aziz yang memiliki tanah berkeluasan 16,000 kaki persegi itu melihat status tanah serta tawaran rumah mampu milik yang diberikan juga menyekat komuniti Melayu daripada berkembang.
Oleh itu beliau memutuskan untuk tidak menjual tanah tersebut selagi status tersebut tidak ditukar kerana ia tidak akan dapat meningkat lagi apabila kerajaan menetapkan harga siling.
Ia tidak boleh lagi dikekalkan sebagai tanah rizab Melayu kerana tiada nilai komersial, jelasnya.
“Kerajaan selesaikan isu sekatan itu dulu. Kemudian baru akan ada pelabur masuk. Tanah itu dikunci sekarang ini. Bila buka kunci pelabur akan berpusu-pusu masuk.
“Jalannya satu, apabila buka sebagai zon antarabangsa harga akan melambung, pelabur akan masuk.
“Apabila status untuk orang Melayu sahaja, itu sendiri sudah menyekat orang Melayu,” kata Aziz lagi.
Aziz ditemui selepas sesi dialog bersama pemilik dan waris tanah Kampong Bharu bersama Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, di ibu negara semalam.
Khalid dalam pertemuan itu berkata, kadar itu adalah maksimum RM850 sekaki persegi itu berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
JPPH mengemukakan nilai tawaran itu dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan oleh orang Melayu sahaja, katanya.
Selain itu, Khalid berkata, struktur atau bangunan di atas tanah pemilik dan pewaris juga akan turut dinilai bagi tujuan pulangan kepada mereka.
Selain pulangan tunai, pemilik juga boleh menerima unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap, serta pulangan sebagai pemegang saham dalam syarikat tujuan khas (SPV).
Seorang lagi pemilik, Khairul Fitri Mohammed, 47, membangkitkan semula janji Dr Mahathir Mohamad ketika berkempen kawasan penempatan Melayu itu sebelum PRU14.
“Beliau berucap di Dewan Kampung Paya, beliau katakan RM2,000 hingga RM2,500 sekaki persegi, penduduk berpegang kepada itu
“Sepatutnya (ikut) budi bicara kerajaan. Kalau RM2,000 hingga 2,500 ringgit, ramai beratur nak jual. Pemilik takut nak jual (pada masa itu) takut bila tukar kerajaan mereka akan ditipu,” katanya.
Seorang lagi pemilik, Kamal Mohd Din, 80, yang bekerja sebagai arkitek melihat pemilik tanah seakan-akan didenda oleh kerajaan kerana status tanah rizab Melayu.
Pemilik tanah berkeluasan 2,400 kaki persegi itu berkata, tawaran yang diberikan tidak logik sama sekali dan pihaknya tidak akan menjual tanah miliknya untuk dibangunkan.
“Logik itu tidak ada dan melampau. Tanah keliling kita dah mencecah RM3,000 ringgit sekaki persegi, takkan kita masih nak RM650 hingga RM850.
“Pada saya RM1,500 sekaki persegi pun sudah memadai, walaupun tidak mencukupi kerana kawasan di sekitar KL atas RM3,000 sekaki persegi, kenapa kita tidak boleh.
“Kenapa dengan status tanah Melayu? Kenapa kerajaan denda kita, orang Melayu. Sanggup kamu kata status rendah hanya kerana kamu Melayu? Melampau!” kata bapa kepada lima anak itu lagi.
Status tanah rizab Melayu kawasan itu bermula dengan undang-undang Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang diperkenalkan penjajah British.

Beberapa pindaan seterusnya menjadikan peraturan ini dikenali sebagai Peraturan Penempatan Pertanian Melayu (Kuala Lumpur).
Seorang lagi pemilik Syed Muzarin Syed Kamarul Bahrin, 45, juga melihat harga yang ditawarkan itu ketinggalan zaman dan hanya sesuai untuk 20 tahun lalu.
“Terlalu jauh beza dengan harga di sekitar KLCC, Jalan Ampang. Harga baru yang ditawarkan ini harga 15-20 tahun dulu.
“Tapi kata Melayu nak tolong Melayu, kalau betul nak tolong macam-macam kaedah kerajaan boleh laksanakan,” katanya.
Malahan, pihaknya juga melihat tiada kerugian bagi pihak pemilik untuk tidak menjual tanah mereka kepada kerajaan, sekiranya tawaran itu begitu rendah.
“Semua terkejut dengan harga yang menteri wilayah cakap. Kalau begini, lebih baik jangan ambil, biar kami bangunkan sendiri.
“Beri kami peruntukan atau pinjaman, atau apa sahaja yang patut nak tolong Melayu biar kami bangunkan sendiri,” katanya.
Sesi town hall itu gamat ketika Khalid mengumumkan perkara itu di hadapan lebih 2,000 pemilik daripada 825 lot tanah yang terlibat.
Dalam sidang medianya, Khalid berkata, pihaknya mempertahankan bahawa penilaian dibuat oleh JPPH mengikut standard operasi prosedur pembangunan.
Kadar harga yang lebih rendah itu juga dapat memastikan projek pembangunan tersebut akan dapat dijalankan.
“Kita kena ambil kira harga pembelian mesti satu harga memungkinkan projek boleh berjalan. Kalau beli mahal kita kena jual mahal sedangkan kita nak apa yang kita bina, hartanah baru semuanya kekal milik Melayu.
Tambahnya, status tanah rizab Melayu itu juga dikekalkan untuk memastikan tanah berkenaan kekal dimiliki orang Melayu.
“Bila ambil kira itu kita beli harga dengan syarat pemilikan mesti Melayu.
“Saya harapkan semua pemilik, waris ambil kira faktor ini. Bila nak jual jangan harga mahal, bila kita nak jual dengan harga rendah jadi kita ambil jalan pertengahan dan adil bagi semua,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemilik bertanggungjawab membantu mencambahkan hartanah Melayu di ibu negara mengikut objektif asal pembentukan Kampong Baru.
“Kerana itu sebabnya mereka menjadi pemilik asalnya. Kalau dengan konsep itu tak wujud, daripada awal mereka sendiri tak jadi pemilik.
“Mereka harus setia dengan konsep itu dengan jual harga munasabah supaya bila kita beli kita boleh jual dengan harga munasabah kerana hendak jual kepada orang Melayu,” katanya lagi.
Tambahnya harga tawaran tersebut juga masih boleh dirundingkan. – 22 September Ogos, 2019.
Komen